Balik Pulau: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memanggil pengusaha produk Qu Puteh Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan racun berjadual merkuri pada paras tinggi yang terdapat dalam produk Qu Puteh Whitening Pro 9 keluaran syarikatnya.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kementerian memandang serius terhadap setiap produk kecantikan di pasaran yang disahkan tercemar atau mengandungi bahan terlarang.

“Semua produk yang akan dipasarkan biasanya dipantau dan dibuat uji kaji terhadap sampelnya. Dalam kes produk Qu Puteh ini, ia turut melalui proses sama, namun sampel terbaru menunjukkan ia mengandungi kadar merkuri yang tinggi.

“Sebab itu kita arahkan ia ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 72 jam dan kita akan memanggil pengeluarnya supaya memberi penjelasan berhubung kehadiran merkuri yang tinggi dalam produk berkenaan,” katanya ditemui selepas menghadiri Program Ziarah Kasih Sayang Parlimen Balik Pulau di Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar, semalam.

Beliau Hilmi berkata, semua pengusaha kosmetik tempatan perlu menjaga dan mematuhi syarat Amalan Pengilangan Baik (GMP) ditetapkan kementerian bagi mengelakkan kehadiran bahan terlarang dalam produk mereka.

Menurutnya, kementerian akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan rapi terhadap semua pengeluar kosmetik tempatan bagi memastikan produk dihasilkan selamat kepada pengguna.

“Kementerian sentiasa berusaha memastikan setiap produk kosmetik yang berada di pasaran mematuhi syarat ditetapkan. Kita tidak mahu pengguna menanggung akibat daripada penggunaan kosmetik berbahaya,” katanya.

Semalam, KKM mengesahkan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan dalam kosmetik.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Brunei turut mengharamkan produk Qu Puteh kerana didakwa mengandungi bahan berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:10 AM