MUHAMMAD Ismail bersama anak dan isteri dalam rumahnya.

Baling: Bilik kecil di dalam sebuah kilang memproses kayu getah di Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil, dekat sini, menjadi syurga buat satu keluarga untuk berlindung daripada panas dan hujan akibat kesempitan hidup.

Muhammad Ismail Shamsuddin, 39, berkata, dia sudah menetap di bilik itu yang diibaratkan rumah sendiri sejak 18 tahun lalu bersama arwah bapanya, malah selepas berkahwin dia memilih untuk terus tinggal di sini akibat kesempitan hidup.

Menurutnya, bilik itu menjadi tempat tinggal bersama isteri dan lima anak dan bernasib baik pemilik kilang masih membenarkan mereka sekeluarga tinggal di dalam bilik itu atas dasar kemanusiaan.

“Ketika arwah ayah Shamsuddin Junus masih hidup, dia bekerja di kilang ini dan disebabkan itulah pemiliknya sudi membenarkan saya tinggal sehingga kini.

“Hendak buat macam mana... inilah saja tempat tinggal yang termampu saya sediakan untuk keluarga. Walaupun memahami perasaan isteri dan anak yang mungkin merungut, tapi saya tidak ada pilihan lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Muhammad Ismail berkata, dia pernah memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tiga tahun lalu, tetapi tidak berjaya kerana syarat diperlukan iaitu tanah bergeran tidak dapat disediakan kerana tidak mempunyai tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 7:01 AM