DR Mohd Shukri beramah mesra bersama penerima Anugerah Senarai Presiden di MSU, Shah Alam.

Shah Alam: Tinggal berjauhan daripada keluarga yang menetap di Brunei dijadikan sebagai pembakar semangat kepada Maziah Mashadi, 26, sehingga berjaya memperoleh Anugerah Senarai Presiden pada majlis yang diadakan di Management & Science University (MSU) di sini, semalam.

Maziah antara 192 pelajar yang menerima anugerah berkenaan berdasarkan pencapaian cemerlang memperoleh purata nilai gred (GPA) 3.75 dan ke atas bagi tiga semester pengajian berturut-turut bagi sesi pengajian 2014/2015.

“Saya berbangga dengan pencapaian ini kerana ia hasil usaha sendiri dan untuk keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan saya terutama arwah ayah.

“Menjadi pensyarah adalah impian saya kerana mahu mengikut jejak langkah ketiga-tiga abang yang kini berkhidmat di sebuah universiti di Brunei,” katanya yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, memasuki tahun kedua belajar di Malaysia mengajarnya supaya lebih berdikari kerana jurusan yang diambilnya memerlukan dia banyak merangka aktiviti luar kampus.

“Saya terpaksa menyewa kereta atau meminjam daripada rakan apabila perlu melakukan tugasan luar kerana tiada kenderaan sendiri dan ini antara cabaran utama perlu dihadapi,” katanya.

Menurutnya, seperti pelajar lain, dia memberi fokus ketika sesi pembelajaran dan melakukan ulangkaji serta membuat nota mengikut kreativiti sendiri menjadi rahsia kejayaannya yang kini berjaya mencapai GPA 3.80.

Majlis berkenaan disempurnakan Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:51 AM