Danny (empat dari kiri) dan Chow (tiga dari kiri) selepas Pelancaran `A Hopeful Spring' oleh Sunway Carnival Mall sempena Tahun Baru Cina di Sunway Carnival.

Seberang Jaya: Bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina bulan depan, pusat beli-belah Sunway Carnival Mall, di sini, tampil memberikan kelainan dengan menampilkan konsep keindahan pokok Cherry Blossoms umpama berada di dalam taman pada musim bunga.

Pengurus Besar Sunway Carnival Mall Chow Heng Wah berkata, dekorasi ruang legar utama bagi sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini bertemakan ‘A Hopeful Spring’.

“Di samping membeli-belah, pengunjung dapat menikmati keindahan dan keunikan pokok Cherry Blossoms dalam sebuah taman pada musim bunga, sekali gus melambangkan kekayaan, kejayaan dan tuah pada Tahun Monyet kali ini.

“Malah, taman itu turut menyerlahkan keunikan tradisi silam dan mengikut kepercayaan masyarakat Cina, ia membawa pengertian kekayaan yang akan diperoleh dan dicapai oleh semua orang,” katanya.

Pelancaran sambutan itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan negeri Danny Law Heng Kiang di ruang legar utama pusat beli-belah itu, malam kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Besar Hotel Sunway Seberang Jaya Ben Ho.

Sepanjang majlis pelancaran itu, tetamu dan pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian naga, seni bela diri Shaolin dan ‘God of Monkey’ yang mencuit hati.

Pada masa sama, bermula 15 Januari hingga 22 Februari ini, ruang legar utama akan dipenuhi pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan yang menarik antaranya gendang cina, akrobatik, tarian naga, seni bela diri Shaolin dan sebagainya.

Chow berkata, pembeli dapat menebus ganjaran istimewa bermula dari 15 Januari hingga 7 Februari bagi yang membelanjakan RM188 dan ke atas (RM128 dengan kad kredit HSBC) atau RM388 dan ke atas (RM288 dengan kad kredit HSBC) dalam maksimum dua resit pada hari sama dapat menebus koleksi terhad kertas ‘ang pau’ dan satu set kaligrafi.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengabaikan golongan kurang bernasib baik sempena menyambut Tahun Baru Cina ini dengan melakukan kunjungan amal di Rumah Sejahtera, Permatang Tinggi pada 15 Februari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:40 AM