ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di Perpustakaan Kuala Lumpur.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kakitangan dan pengunjung Perpustakaan Kuala Lumpur gempar apabila bangunan itu terbakar mendadak pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, kebakaran dikatakan berpunca percikan api ketika kerja kimpalan membuat bumbung tambahan di bangunan itu yang membakar fiber polisterin.

Bagaimanapun, tindakan pantas polis memadamkan kebakaran itu daripada merebak ke bahagian lain.

Pustakawan Kanan Perpustakaan Kuala Lumpur Norizam Ab Ghani berkata, pihaknya akan berbincang dengan pengurusan tertinggi untuk menutup operasi kemudahan itu sekurang-kurangnya seminggu untuk kerja pembersihan dan baik pulih.

“Walaupun kebakaran hanya membabitkan struktur luar, namun terdapat cermin yang pecah kerana terlalu panas menyebabkan asap daripada fiber polisterin memenuhi ruang dalam perpustakaan.

“Malah, air yang digunakan bomba untuk memadamkan kebakaran turut memasuki ruang perpustakaan. Kami memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk membersihkan semua kerosakan sebelum dibuka kepada umum,” katanya, semalam.

Sementara itu pekerja pencuci di bangunan itu, Ida Astuti Tamat, 38, berkata, dia ternampak api kecil di lokasi kerja kimpalan dilakukan sebelum ia menjadi lebih besar dan merebak.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Kanan Penguasa Bomba Armdan Mahat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 10.18 pagi.

“Seramai 39 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, KLCC, Sentul dan Titiwangsa dengan kekuatan empat jentera bergegas ke lokasi untuk memadam api.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:12 AM