IMPIAN Adam (tiga kiri) bergelar juruterbang MAS tercapai.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my


Kuantan: Kehidupan sukar tanpa bapa yang meninggal dunia ketika dia berusia 16 tahun membuatkan Adam Firdausi Mohd Nasir, 28, bertekad belajar bersungguh-sungguh seterusnya memenuhi impian bergelar juruterbang yang menjadi cita-citanya sejak kecil.

Sebagai anak sulung daripada enam beradik, dia tidak mahu ibunya, Suzilawati Darus, 50, terbeban dengan pelbagai urusan rumah tangga termasuk membiayai pelajaran mereka adik-beradik.

Adam Firdausi berkata, selepas arwah bapanya, Mohd Nasir Abdul Kudus meninggal dunia, ibunya terpaksa bekerja keras bagi memastikan kehidupan mereka terjamin selain pelajaran tidak tersekat di pertengahan jalan.

“Ibu sentiasa memberi pelbagai pesanan dan nasihat kepada kami yang pendidikan amat penting dan mahu kami berjaya dalam kerjaya diceburi selepas tamat pengajian.

“Saya jadikan nasihat ibu sebagai azimat dan tanamkan tekad untuk berjaya dan mencapai cita-cita bergelar juruterbang yang menjadi impian sejak kecil,” katanya ketika ditemui di Yayasan Pahang (YP), di sini, semalam.

Adam Firdausi berkata, pelbagai pekerjaan dilakukan selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti berniaga kedai makan dan menjual pakaian untuk menampung perbelanjaan harian.

Sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Pahang (YP) di peringkat sekolah menengah, Adam Firdausi ternyata seorang pelajar yang bijak dan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Justeru, dia tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan kepercayaan YP ketika mengemukakan permohonan mendapatkan pinjaman bagi membiayai kursus penerbangannya di Asia Pacific Flight Training (APFT), Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Permohonan saya lulus dan saya menerima pinjaman bagi membiayai kursus berkenaan sehingga tamat dan mencapai cita-cita diidamkan.

“Saya bersyukur kerana menjadi satu-satunya anak kelahiran Pahang menerima pinjaman pengajian dalam bidang penerbangan setakat ini,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh itu.

Adam Firdausi berkata, permintaan tinggi bagi kerjaya juruterbang sama ada di dalam atau luar negara memberi ruang kepadanya memilih kerjaya idaman dan kini bertugas sebagai juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) sejak tiga tahun lalu.

“Alhamdulillah, proses pembayaran balik pinjaman pengajian juga tidak berdepan masalah dan konsisten bagi mengelak sebarang kesulitan pada masa depan.

“Semoga kejayaan saya menjadi inspirasi kepada pelajar lain walau di mana mereka berada supaya tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita seperti kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Nerek, Temerloh.

Sementara itu, Pengurus Besar YP Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, pihaknya sentiasa membuka peluang kepada pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kita menyediakan pelbagai jenis bantuan pembiayaan dalam bentuk biasiswa atau pinjaman bermula dari peringkat sijil, diploma, sarjana muda, sarjana sehingga doktor falsafah kepada pelajar yang layak.

“Bagaimanapun, pelajar bertanggungjawab untuk membayar balik pinjaman pendidikan ini bagi membolehkan YP menjana semula pendapatan untuk dimanfaatkan kepada anak-anak Pahang khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 7:30 AM