Baling: Memiliki kebolehan menyanyikan lagu dalam tujuh bahasa membuatkan seorang warga emas berketurunan India menjadi perhatian masyarakat setempat selain kerap menerima undangan agensi kerajaan bagi mengadakan persembahan nyanyian.

Lelaki berkenaan W Sathiyamurti, 69, dari Taman Ketil Indah, Kuala Ketil, di sini, berkata dia memulakan karier dalam bidang terbabit sejak berusia tujuh tahun apabila mendapat galakan serta bimbingan keluarga terutama bapanya D William.

Menurutnya, walaupun tidak mempelajari bidang nyanyian secara formal, namun dia boleh mendendangkan lagu dalam lapan bahasa dengan baik iaitu lagu Melayu, Tamil, Inggeris, Cina, Hindustan, Jepun dan Indonesia.

“Saya dilahirkan dalam keluarga orang seni. Semua adik-beradik saya termasuk ibu bapa saya boleh menyanyi, tetapi mereka cuma boleh menyanyi dalam dua bahasa saja iaitu Melayu serta Tamil dan menyanyi sekadar untuk seronok saja.

“Ketika usia muda, saya sering menerima undangan membuat persembahan sama ada untuk majlis perkahwinan, hari keluarga dan sambutan hari jadi dengan menerima bayaran tertentu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Bapa kepada dua anak yang pernah bekerja di beberapa estet di merata tempat seperti di Sarawak dan Papua New Guinea, berkata dia mengambil kesempatan belajar bahasa komuniti setempat bagi memudahkannya menyanyikan lagu mereka.

Menurutnya, walaupun berstatus warga emas, namun dia masih meneruskan minatnya dan sering menerima undangan untuk membuat persembahan nyanyian pada majlis perkahwinan, perayaan Deepavali dan Krismas sekitar Kuala Ketil, Baling dan Sungai Petani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 7:11 AM