Kota Bharu: “Saya akan gunakan biasiswa ini sebaik mungkin dan belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga,” kata Nik Nur Kamelia Nik Mohd Iruan, 11, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Demit.

Dia menerima Biasiswa Tengku Anis kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM80 sebulan mulai bulan ini.

Akhbar semalam melaporkan kisah kanak-kanak itu yang menulis karangan memilukan mengenai dirinya yang kerap makan ubi kayu dan wang perbelanjaan sekolah hanya RM1 kerana kemiskinan keluarga.

Karangan itu yang ditulis pada hari kedua persekolahan kemudian dimuat naik dalam laman sosial Facebook dan menjadi viral sejak minggu lalu.

Nik Nur Kamelia berkata, dia tidak menyangka karangan itu menyebabkan ramai pihak bersimpati dengan nasib dirinya dan keluarga.

“Karangan itu untuk tujuan kerja sekolah dan saya hanya menceritakan perkara sebenar mengenai diri saya.

“Tidak sangka ramai yang datang tolong. Terima kasih cikgu, terima kasih semua yang beri bantuan,” katanya ketika ditemui di SK Demit, di sini, semalam.

Kisah menyentuh hati murid tahun lima itu mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang hadir ke sekolah itu, semalam, untuk menyerahkan borang tawaran Biasiswa Tengku Anis.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN Rosnah Ibrahim berkata, Nik Nur Kamelia akan menjadi penerima biasiswa itu sehingga tamat persekolahan.

“Saya dimaklumkan oleh guru besar Mamat Mat Taib bahawa adik ini tersenarai dalam murid yang layak mendapat bantuan

“Malah, kebajikannya di sekolah juga terjaga apabila memperoleh bantuan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

“Adiknya, Nik Mohd Nizam,10, di tahun empat juga menerima RMTS,” katanya.

Bantuan lain diterima Nik Nur Kamelia termasuk memperoleh zakat Bank Rakyat susulan SK Demit menjadi sekolah angkat institusi perbankan berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Bharu Mohd Khir Omar berkata, pihaknya sudah menyenaraikan Nik Nur Kamelia dan dua adiknya, Nik Mohd Nizam dan Nik Mohd Anuar, 6, sebagai penerima bantuan kanak-kanak.

“Setiap daripada mereka menerima RM300 setiap bulan yang akan disalurkan mulai Februari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:01 AM
ROSNAH menyampaikan sumbangan kepada Nik Nur Kamelia selepas kisah kemiskinan keluarga mendapat perhatian.