KAKITANGAN UniMap menunjukkan banting makanan percuma kepada pelajar kurang kemampuan di Kampus UniMap, Pauh Putra.

Kangar: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited menjaga kebajikan pelajar dan berpegang kepada prinsip tiada pelajar dibenarkan berhenti belajar hanya disebabkan faktor kemiskinan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP Profesor Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata, pihak Unit Kebajikan Pelajar sentiasa mengemas kini maklumat sumber kewangan pelajar bagi memastikan mereka dapat menjalankan aktiviti pembelajaran tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, Unit Kebajikan Pelajar ini bukan hanya berpusat di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), sebaliknya UniMAP turut menubuhkan jawatankuasa bertindak dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK).

“Kedua-dua jawatankuasa ini bertindak memberi laporan dari semasa ke semasa kepada pihak pengurusan universiti sekiranya terdapat pelajar yang kesempitan wang.

“Manakala pelajar dengan pendapatan keluarga kurang RM1,500 sebulan boleh mengemukakan permohonan menerusi sistem JHEPA bagi memudahkan UniMAP menyalurkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan Harian Metro berkaitan pelajar Universiti Awam (UA) kelaparan kerana tidak mampu membeli makanan akibat kesempitan wang.

Mohd Foad berkata, sejak 2009 pihaknya mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Amanah Zakat dan Tabung Amanah Khas bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan di universiti itu.

“Dana Tabung Amanah Zakat adalah hasil sumbangan Etiqa Takaful dan Bank Islam Malaysia Berhad manakala dana Tabung Amanah Khas diperoleh melalui pemotongan gaji staf UniMAP secara sukarela setiap bulan.

“Mengikut rekod tahun lalu, sebanyak RM100,200 daripada Tabung Amanah Khas itu disalurkan kepada 335 pelajar yang membabitkan lima siri sumbangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:36 AM