PASUKAN Queen’s Park Rangers.
LAKARAN Stadium Sultan Muhammad IV yang dicat merah jambu.
PASUKAN bola sepak Kelantan.
PASUKAN bola sepak Johor DT.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih RM320 juta dibelanjakan keluarga diraja, tokoh perniagaan dan hartawan negara ini untuk menaja dan membeli kelab bola sepak di dalam dan luar negara.

Anggaran itu berdasarkan penajaan dan pembelian enam kelab bola sepak iaitu Queen’s Park Rangers FC (QPR), Kelab Cardiff City FC (The Blue Birds), FK Sarajevo FC, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), KV Kortrijk, dan Kelantan (The Red Warrior).

Menurut Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Faizal Kasmani penajaan untuk sukan memberi manfaat penjenamaan yang besar kerana ia mempunyai kumpulan sasaran iklan yang khusus, konsisten, berdisiplin.

Justeru, beliau melihat penajaan atau pembelian kelab bola sepak inisiatif bijak dan mampu memberi pulangan baik dalam jangka panjang.

“Dengan menaja kelab bola sepak, pihak terbabit dapat meneroka kumpulan sasaran baru dalam kalangan peminat sukan itu berbanding iklan di media cetak dan elektronik. Saya katakan disiplin merujuk kepada iklan itu sentiasa ada di situ, kekal terpampang di stadium dan sebagainya,” katanya.

Perkembangan terkini di tanah air menyaksikan pemilik Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menaja RM20 juta bagi pasukan bola sepak Kelantan untuk mengharungi Liga Super musim 2016 dan 2017.

Sultan Johor pula melabur RM50 juta bagi memastikan pasukan JDT terus cemerlang dan merangkul lebih banyak kejuaraan Liga Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Difahamkan, Dr Vida yang juga usahawan kosmetik terkenal dengan slogan ‘Qu Puteh, Qu Puteh’ akan membelanjakan RM1 juta bagi mengecat Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu dan menjadikan ia sebagai kem ‘Pamoga Qu Puteh TRW’.

Faizal berkata, dalam keghairahan menaja dan membeli kelab bola sepak, pihak ahli perniagaan terbabit perlu membuat kajian teliti kaedah terbaik untuk mengiklankan produk mereka supaya memberi kesan seperti diharapkan.

“Mereka perlu menentukan kaedah berkesan untuk menyesuaikan iklan produk mereka dengan sukan bola sepak seperti dilakukan syarikat Coca-Cola yang menaja Piala Dunia.

“Dalam hal ini, peminat sukan bola sepak tidak boleh dipinggirkan. Pendek kata, walaupun kita ada duit, peminat penting kerana mereka menentukan jatuh bangun sukan itu,” katanya memaklumkan tidak sabar melihat iklan penajaan Qu Puteh bagi pasukan Kelantan.

Dalam pada itu, katanya, penggunaan media baru seperti laman Facebook, Twitter dan Instagram perlu dimanfaatkan pihak terbabit.

“Kaedah iklan lebih pantas kerana iklan disiarkan menjadi viral dan dikongsikan nitizen di seluruh dunia,” katanya.

Sebelum ini, tokoh perniagaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes membeli 66 peratus saham Queen’s dipegang supremo Formula One, Bernie Ecclestone di dalam kelab QPR bernilai £35 juta (RM150 juta) pada 2011 manakala Tan Sri Vincent Tan pula membeli Kelab Cardiff City FC dan FK Sarajevo FC.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nouvelles Visages Erni Dekritawati Yuliana Buhari biarpun mengakui penajaan sukan termasuk bola sepak membantu perniagaan.

“Saya memandang positif trend penajaan ini membabitkan jutawan kosmetik tempatan, tetapi belum memikirkannya buat masa ini.

“Jika tawaran menarik, mungkin boleh dipertimbangkan,” kata anak sulung Allahyarham jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:00 AM