Oleh Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Memang betul, saya perlukan kaki palsu, tetapi kalau belum ada rezeki, saya tidak mahu mengharap lagi.

“Hidup saya pun di penghujung senja. Bila-bila masa Tuhan boleh ambil nyawa saya,” kata Md Lif Dahan berusia 62 tahun.

Kisah Md Lif pernah disiarkan Harian Metro sebelum ini, apabila sanggup berkorban menjaga isteri yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan termasuk Parkinson, lelah dan saraf walaupun pergerakan diri sendiri terbatas berikutan kaki kiri dipotong akibat kencing manis.

Berkongsi perkembangan terkini, Md Lif berkata, isterinya Asmah Majid sudah meninggal dunia pada 26 September lalu.

“Jika dulu kaki palsu itu memang saya perlukan untuk bergerak membawa isteri berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

“Namun, kini isteri sudah tiada dan saya tidak kisah lagi mengenai bantuan kaki palsu itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya Pangsapuri Intan Jalan Bukit Permai Cheras, di sini, semalam.

Menurut Md Lif, dia kini meneruskan kehidupan bersama tiga anak yang tinggal bersamanya di rumah berkenaan.

“Saya bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik walaupun mata agak kabur dan perlu mengambil empat jenis ubat akibat kencing manis.

“Perasaan sunyi itu memang ada setiap kali anak-anak pergi bekerja. Dulu isteri masih ada, dia adalah peneman sejati walaupun terlantar sakit.

“Sekarang, sudah tidak ada tempat untuk saya luahkan perasaan kerana faham anak-anak sibuk dengan kerja masing-masing,” katanya.

Md Lif berkata, rutin hariannya dijalankan seperti biasa kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.

“Apa saya tahu, kerja rumah seperti vakum dan mop masih saya buat walaupun kaki sebelah tidak ada.

“Saya masih boleh mengengsot dan pakai tongkat, jadi tidak jadi masalah semua itu,” katanya.

Md Lif berkata, dia hanya meneruskan kelangsungan hidup dengan bergantung kepada ihsan empat anak berusia antara 34 hingga 20 tahun selain bantuan kewangan dan barangan keperluan dapur daripada Lembaga Zakat Selangor.

“Saya juga pernah menerima sumbangan motosikal empat roda apabila kisah saya disiarkan di Harian Metro. Saya bersyukur kerana masih ada yang sudi memberi bantuan keperluan dapur.

“Duit bantuan zakat RM250 sebulan saya guna untuk dapat berulang-alik ke hospital untuk mengambil ubat kencing manis dan keperluan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 10:02 AM
Md Lif menunjukkan kaki palsu daripada paip PVC yang direka sendiri di rumahnya di Pangsapuri Intan Cheras, Kuala Lumpur, semalam.