Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Konflik dianggap kecil atau remeh kini boleh bertukar menjadi punca ketegangan dan seterusnya mengakibatkan suami hilang kawalan diri.

Pakar kaunseling keluarga Hushim Salleh berkata, kebiasaannya perkara ini berlaku akibat faktor luaran seperti tekanan kerja dan isu lain termasuk masalah kewangan yang menyebabkan hilang kewarasan semasa berkomunikasi.

Menurutnya, kes keganasan rumah tangga kian membimbangkan dan ia antara faktor peningkatan kes penceraian di Malaysia.

Beliau berkata, ketidakpuasan hati berhubung isu remeh yang berlaku sebelum itu terkumpul di dalam diri sama ada suami atau isteri sehingga mencetuskan pergaduhan lebih besar.

“Apabila individu gagal mengawal emosi, keganasan boleh berlaku secara mendadak dan ditambah pula wujudnya provokasi daripada sebelah pihak menyebabkan ia semakin sukar untuk dikawal sehinggalah ada perbuatan mencederakan isteri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas insiden pergaduhan ataupun keganasan berlaku, kemarahan akan reda dan ketika ini fasa seterusnya penyesalan dan meminta maaf serta janji untuk berubah.

“Keadaan ini memberikan keyakinan kepada satu pihak si suami ataupun isteri akan berubah.

“Tetapi apabila berlaku lagi pertengkaran, ia berpotensi menjadi lebih ‘ganas’ daripada sebelumnya,” katanya.

Hushim berkata, pasangan perlu sentiasa berbincang mengenai masalah yang dihadapi dan mencari penyelesaian secara harmoni selain tahu tanggungjawab dan hak mereka dari sudut agama dan perundangan,” katanya.

Menurutnya, keganasan rumah tangga perlu dibendung kerana ia meninggalkan kesan negatif dalam institusi kekeluargaan.

“Mangsa mengalami tekanan fizikal, mental dan spiritual dan sentiasa berada dalam satu situasi yang tidak selamat.

“Selain itu keganasan rumah tangga menimbulkan kesan negatif kepada pertumbuhan anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 10:08 AM