IRMOHIZAM (dua dari kiri) menyampaikan majalah Suara GPMS kepada Rafidah Ibrahim sebagai ahli yang mewakili artis.

Kuala Lumpur: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mewujudkan Sistem Kemasukan Pelajar (SKeP) yang berfungsi untuk mengendalikan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Presiden GPMS Zambri Mohd Isa berkata, sistem berpusat itu bertujuan untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kadar enrolmen pendidikan tertiari daripada 36 peratus pada 2012 kepada 53 peratus menjelang 2025.

Beliau berkata, dengan adanya SKeP, pelajar lulusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti awam (UA) dapat merealisasikan impian mereka untuk belajar ke peringkat lebih tinggi.

“SKeP berfungsi seperti sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU) yang berperanan dalam kemasukan pelajar ke UA cuma bezanya ia (SKeP) membabitkan IPTS.

“Menerusi sistem dalam talian, kemasukan pelajar dapat dilakukan secara berpusat dan mereka akan dihubungkan terus kepada pihak IPTS yang bersesuaian dengan minat serta kehendak masing-masing,” katanya pada sidang media Aturcara Majlis Sepetang GPMS Bersama Media di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Irmohizam Ibrahim.

Pada majlis itu, Irmohizam turut melancarkan sistem berkenaan.

Menerusi SKeP, pelajar hanya perlu membuat permohonan nombor pin dengan membuat bayaran sebanyak RM5 sebelum melayari www.myep.my unuk memilih program pengajian yang ditawarkan.

Zambri berkata, SKeP juga dapat mengelak penipuan ejen institusi pendidikan yang mengenakan bayaran tinggi kepada ibu bapa dan pelajar.

“Buat masa ini, SKeP masih pada peringkat permulaan dan kita yakin ia dapat membantu pelajar selepas keputusan peperiksaan diumumkan kelak,” katanya.

Selain itu, Zambri berkata, pihaknya menubuhkan Maktab Kepimpinan GPMS bagi memberi ruang dan latihan selama tiga bulan kepada anak muda sekali gus melahirkan pemimpin pelapis pada masa hadapan.

Menurutnya, sesi pertama maktab itu akan bermula Mac depan di Kuala Lumpur dengan pengambilan 80 pelajar yang dipilih menerusi saringan.

“Mereka akan dilatih oleh bekas pendidik maktab terdiri daripada bekas pemimpin dalam GPMS sendiri seperti Tan Sri Nordin Kardi dan Datuk Suhaimi Ibrahim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:14 AM