KERA masuk perangkap yang dipasang.
HAIWAN liar menyelongkar sampah dan memanjat pokok di belakang rumah penduduk kampung.
Oleh Amrullah Abdul Karim
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Hulu Bernam: Lebih 1,300 penduduk di 10 perkampungan di sini, diselubungi kebimbangan ekoran gangguan kera liar sejak lebih dua tahun lalu.

Antara kawasan yang sering menjadi tumpuan haiwan berkenaan adalah Gugusan Kampung Sungai Selisek iaitu Kampung Sungai Nilam, Kampung Sungai Pagi, Kampung Masjid, Kampung Sekolah, Kampung Bahum, Kampung Serigala, Batu 6, Batu 7 dan Batu 8.

Haiwan berkenaan kebiasaannya aktif berkeliaran di sekitar perkampungan akan menyelongkar sampah, merosakkan tanaman dan kadangkala masuk ke dapur rumah penduduk.

Penduduk, Puteh Sapiah Yaacob, 66, berkata, kebiasaannya kera datang mengganggu pada waktu petang menyebabkan penduduk bimbang risiko diserang haiwan berkenaan.

“Pada waktu tengah hari pun ia ada datang, tetapi biasanya waktu petang terutama apabila kita berehat dalam rumah. Ketika itu kera aktif di luar dan kita boleh dengar bunyi bising.

“Saya bimbang jika haiwan ini tidak dikawal dan terus membiak, ia akan mengganggu penduduk kerana habitat mereka di hutan berhampiran sudah hampir pupus hingga terpaksa mencari makanan di kawasan kampung,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Daud Abdul Manap, 48, berkata, tanaman seperti buah-buahan juga banyak yang rosak kerana dimakan kera liar berkenaan.

“Saya geram sebab habis semua buah-buahan dimakan dan dirosakkan. Umbut pisang dan ubi serta durian turut dirosakkan haiwan berkenaan.

“Walaupun pelbagai usaha dilakukan seperti memasang jaring untuk mengelak tanaman penduduk dirosakkan, ia tidak tahan lama dan kumpulan haiwan itu akan kembali,” katanya.

Ahmad Daud berkata, pihak berwajib khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) digesa mengambil langkah proaktif bagi memastikan jumlah haiwan berkenaan dapat dikawal dan pada masa sama tidak terus menggusarkan penduduk.

Katanya, jika ia dibiarkan, tidak mustahil jumlahnya bertambah selain risiko penduduk dicederakan dan diserang haiwan itu agak tinggi.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Selisek Ishak Ahmad berkata, masalah yang dihadapi penduduk sudah diajukan kepada Jabatan PERHILITAN dan tinjauan juga dibuat, namun belum ada tindakan susulan dilakukan.

“Saya sudah buat laporan kepada Jabatan PERHILITAN secara lisan dan datang sendiri ke pejabat buat aduan rasmi.

“Pegawai mereka sudah datang tengok keadaan kampung, tetapi selepas itu tiada sebarang tindakan susulan yang dibuat setakat ini.

“Kami masih berharap ada tindakan yang akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:11 AM