ANTARA aktiviti mengubat pesakit di kubur besar di Pulau Besar.
Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah memantau aktiviti wanita yang menggelar dirinya ‘Bonda Ratu’ sejak 2010 berikutan disyaki terbabit dalam proses perubatan yang boleh mengelirukan umat Islam.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penguat Kuasa JAIM Rahimin Bani berkata, berdasarkan rekod pihaknya, wanita terbabit dikenali sebagai Saripa Muliani A Latif, 37, berasal dari Talang Banjar, Indonesia.

“Wanita ini dipercayai menjalankan aktiviti perubatan yang mengelirukan seperti membuang saka di kubur besar di Pulau Besar.

“Hasil maklumat yang kami peroleh, wanita terbabit juga menjalankan aktiviti perubatan di rumahnya iaitu lokasi dia ditahan polis kelmarin,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Rahimin, pada Februari 2010, wanita terbabit bercerai dengan suami pertamanya yang juga penduduk Sungai Rambai.

Namun, wanita itu ditahan kerana berkhalwat dengan seorang lelaki berusia 39 tahun.

“Seperti yang dinyatakan di dalam akhbar, wanita itu ditahan bersama suaminya dan kami percaya, lelaki terbabit individu yang kami tahan kerana berkhalwat dengan wanita berkenaan sebelum ini.

“Berikutan itu, kami akan menyiasat status sebenar perkahwinan pasangan itu kerana berdasarkan data, kami tidak mempunyai rekod mengenai pendaftaran perkahwinan mereka di negeri ini,” katanya.

Menurut Rahimin, wanita sama juga pernah menimbulkan kontroversi di negeri ini pada 2013 apabila mendakwa dirinya Sultan Melaka.

“Pada 2013, dia pernah menjalankan upacara perarakan seperti pertabalan seorang sultan. Dia diarak di atas tandu dari Sungai Rambai ke banglo yang dinamakan Istana Ratu Mahligai Sungai Rambai.

“Malah, sebelum ini, wanita terbabit pernah menganjurkan majlis penganugerahan pingat di Pulau Besar. Namun, ketika serbuan, dia meloloskan diri,” katanya.

Menurut Rahimin, JAIM akan bekerjasama dengan polis berhubung siasatan terhadap wanita terbabit dan suaminya yang kini direman bagi membantu siasatan membabitkan penipuan dalam penyamaran.

Rahimin berkata, wanita terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 40 Pendaftaran Perkahwinan di bawah Undang-Undang Keluarga Islam Melaka 2002 dan Seksyen 69 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu aktiviti pemujaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:15 AM