Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Bajet 2016 akan diubah suai dalam tempoh terdekat bagi membolehkan ia lebih realistik selain persiapan untuk berdepan situasi ekonomi global dan domestik yang semakin mencabar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pengubahsuaian bajet itu perlu selepas mengambil kira senario ekonomi semasa dan penurunan harga minyak mentah dunia yang kini menjunam kepada AS$31.58 (RM138.24) setong kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu amat membimbangkan memandangkan pembentangan Bajet 2016 dibuat berdasarkan unjuran harga purata minyak dunia sekitar AS$48 (RM210.12) setong.

“Pengubahsuaian Bajet 2016 itu antara lain akan membabitkan langkah tambahan terutama bagi mengoptimumkan perbelanjaan, peranan yang boleh dimainkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan meneruskan perjuangan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada perhimpunan khas Kementerian Kewangan, di sini, semalam.

Katanya, kerajaan dan Kementerian Kewangan akan terus berusaha dan komitmen bagi membela nasib rakyat dan menjamin ekonomi negara supaya dapat terus tumbuh dengan baik untuk membolehkan pelbagai program pembangunan dilaksanakan.

Najib berkata, kerajaan meramalkan 2016 adalah tahun yang lebih mencabar berikutan kelembapan ekonomi China yang juga blok ekonomi kedua terbesar dunia serta rakan dagangan terbesar Malaysia.

“Selain itu, penurunan harga minyak mentah dan komoditi yang berterusan pula amat membimbangkan termasuk kesan kepada negara kita berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi dan unjuran belanjawan atau bajet 2016 yang berdasarkan AS$48 (RM210.12) setong.

“Cabaran lain termasuk permintaan global dan perdagangan dunia yang masih lemah dan keadaan pasaran kewangan di Amerika Syarikat (AS) yang membawa kesan kepada aliran modal serantau, termasuk Malaysia,” katanya.

Katanya, aktiviti pengukuhan nilai dolar AS juga membawa impak kepada nilai Ringgit.

Justeru, tindakan lebih responsif dan tegas perlu diberi perhatian bukan saja oleh Kementerian Kewangan, malah oleh kerajaan, GLC dan rakyat secara keseluruhannya selain menguruskan sumber dengan cekap dan mencapai tahap optimum.

Bagaimanapun, Najib berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan April tahun lalu menjadi penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhannya.

Menurutnya, kerajaan mengunjurkan kutipan bersih GST tahun ini mencecah RM39 bilion berbanding kutipan bersih RM21.1 bilion sepanjang sembilan bulan pelaksanaan GST sehingga Disember tahun lalu.

“Pelaksanaan GST dari segi aspek makro menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum. Harga minyak juga dijangka kekal rendah pada tahun ini dengan penyusutan pendapatan kerajaan dianggarkan lebih RM30 bilion.

“Jika harga minyak kekal pada paras AS$32.35 (RM141.92) atau AS$36 (RM157.93) setong, penyusutannya kerajaan dianggarkan lebih RM30 bilion. Bagi AS$ 1 jatuh dari paras yang sebelumnya bererti bahawa kita berkurangan RM300 juta dari segi hasil kerajaan,” katanya.

Katanya, jika tiada GST maka defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1 peratus pada tahun ini.

Najib berkata, hasil GST boleh digunakan kerajaan untuk melaksanakan projek pembangunan seperti jalan raya; hospital; sekolah; Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya kepada rakyat.

“Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang melampau, kerajaan tetap meneruskan program BR1M kerana ia memberi manfaat kepada 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dengan peruntukan kira-kira RM5.9 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:12 AM