KAMARUDIN (kanan) menunjukkan ruang penyimpanan ganja yang ditemui JKDM Perlis.
Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Padang Besar: Cubaan suami isteri menyeludup ganja seberat 99 kilogram bernilai RM148,650 menggunakan taktik melekatkan logo Jabatan Imigresen Malaysia pada cermin kereta ketika melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand gagal apabila ditahan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk pemeriksaan.

Pengarah JKDM Perlis Kamarudin Jaafar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang 27 Disember lalu, sepasukan anggota Unit Pemeriksaan Penumpang menahan dan memeriksa sebuah Proton Waja hitam ketika cuba memasuki negara ini di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Wang Kelian yang dinaiki pasangan berusia 35 tahun itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kereta itu tertera pelekat Jabatan Imigresen dan mereka mendakwa suami isteri berasal dari Kedah dan baru pulang dari Thailand.

“Anggota JKDM yang curiga dengan gerak geri pasangan itu kemudian memeriksa kereta itu sebelum menemui bungkusan beg plastik dalam kenderaan itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 69 ketulan mampat disyaki ganja dianggarkan seberat 69 kilogram dalam beg plastik itu,” katanya di Kompleks Kastam Padang Besar di sini, semalam.

Katanya, pihaknya turut menemui 30 lagi ketulan mampat ganja seberat 30 kilogram diletakkan di kiri ruang tempat duduk bahagian belakang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu menemui tiga peket plastik lut sinar dipercayai ganja dan heroin dalam saku seluar dan beg sandang.

“Kita percaya suami isteri itu sering berulang alik ke Thailand untuk mendapatkan bekalan dadah ini yang dipercayai akan dipasarkan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.

Beliau berkata, bekalan dadah itu juga dipercayai dipasarkan ke Singapura jika ada permintaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek bukan anggota imigresen meskipun kereta yang didaftarkan atas namanya mempunyai pelekat jabatan itu selain mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Ujian air kencing terhadap pasangan itu mendapati suspek lelaki positif syabu dan mereka direman selama 14 hari bermula 28 Disember hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:06 AM