Jailani (tengah) bersama Kamal serta penerima anugerah pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang UPSR dan PT3 2015 Parlimen Hulu Terengganu.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Berang: Media Prima Berhad meraikan 250 murid dari kawasan Parlimen Hulu Terengganu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 dengan memberikan baucar bantuan persekolahan.

Selain baucar bernilai RM70 setiap seorang, murid cemerlang itu turut menerima beg sekolah sumbangan SME Bank dalam majlis khas disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Datuk Kamal Khalid berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mendorong dan menggalakkan pelajar berusaha lebih gigih serta mencapai kejayaan akademik.

Menurutnya, Parlimen Hulu Terengganu dipilih kerana beberapa sekolah di kawasan itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu, SK Lerek dan SK Kemat dipilih antara sekolah terbaik walaupun berada di kawasan luar bandar.

“Ia tidak menghalang murid di kawasan ini untuk cemerlang dan kita berharap program ini dapat memberi motivasi kepada semua pelajar.

“Kami komited dalam melaksanakan program CSR terutama membabitkan sektor pendidikan yang dilaksanakan secara menyeluruh sama ada di bandar atau kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya yang ditemui selepas majlis penyampaian bantuan itu.

Sementara itu, Jailani turut memuji usaha dilakukan Media Prima, SME Bank dan syarikat tekstil terkemuka Jakel menganjurkan program seumpama itu dalam usaha meringankan beban ibu bapa.

Menurutnya, pihaknya turut berterima kasih kerana memilih Parlimen Hulu Terengganu sebagai lokasi program CSR dan berharap ia menjadi contoh kepada pihak korporat lain.

Bekas murid SK Bukit Perah, Nor Elieza Mat Liah, 13, berkata, sumbangan diterimanya menerusi program berkenaan dapat meringankan beban bapanya, Mat Liah Semat, 52, yang hanya bekerja sebagai buruh.

“Saya bersyukur kerana terpilih menjadi salah seorang penerima. Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli keperluan pembelajaran sebaik sesi persekolahan bermula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:15 AM