PENGUNJUNG Karnival PC Fair di Mara Digital mendengar penerangan daripada jurujual, semalam.
Oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembukaan MARA Digital sejak 8 Disember lalu dimeriahkan dengan karnival ‘PC Fair 2016’ khusus mempromosikan pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu kepada umum menerusi pelbagai tawaran menarik dengan harga berpatutan.

Karnival yang diadakan kali pertama berlangsung selama tujuh hari dengan menawarkan harga komputer riba, telefon bimbit dan gajet serta aksesori lebih murah daripada harga pasaran, malah dijamin berkualiti serta tulen.

Pengurus Pemasaran CMT Taqwa Resources Al Faraby Mohd Safar berkata, karnival itu membabitkan 40 peniaga MARA Digital dengan masing-masing menawarkan harga istimewa kepada pengunjung.

Beliau yang juga penganjur karnival berkata, pengunjung bertuah berpeluang memenangi hadiah ditawarkan iaitu komputer riba, telefon bimbit dan gajet, selain hamper bagi menghargai mereka yang menyokong pusat ICT itu.

“Karnival ini diadakan bagi memberitahu kepada umum mengenai pembukaan MARA Digital kerana sebelum ini, saya mendapat maklum balas bahawa pusat ICT ini tiada aktiviti.

“Walaupun karnival ini tidak semeriah seperti yang lain, kami percaya ia menarik lebih 1,000 pengunjung menerusi tawaran harga menarik kepada peminat gajet dan komputer riba,” katanya.

Al Faraby berkata, pihaknya akan mengadakan sekurang-kurangnya karnival tiga kali sebulan selepas melihat sambutan dan maklum balas yang diterima daripada orang ramai menggalakkan.

“Sokongan orang ramai menjadi pemangkin untuk peniaga menyediakan perkhidmatan terbaik, malah memastikan MARA Digital sebagai lokasi utama barangan dan gajet elektronik di bandar ini,” katanya.

Pengunjung MARA Digital, Muhammad Syafi Mohamed Shah, 27, berkata, pusat ICT menjadi lokasi pilihannya membeli aksesori telefon bimbit kerana menawarkan harga murah dan berkualiti.

“Peniaga menunjukkan sikap baik apabila melayan pelanggan dengan mesra serta pusat ICT menawarkan harga lebih murah daripada tempat lain.

“Selain itu, unsur penipuan juga tiada apabila ada kakitangan memantau kualiti barangan sama ada tulen atau tidak dan aduan dilakukan terus kepada pihak berkenaan jika pelanggan dianiayai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:13 AM