ANGGOTA trafik melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal di Jalan Loke Yew.

Kuala Lumpur: Sekumpulan belia bertindak gila membuat pusing U serta menunggang motosikal melawan arus semata-mata mahu mengelak ditahan polis.

Malah, ada antara mereka sanggup meninggalkan motosikal sejurus menyedari polis trafik melakukan Operasi Bersepadu (Op Bersepadu) Motosikal / Warta Trafik Kuala Lumpur di Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar, di sini, kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 10 malam hingga 12.30 tengah malam itu, 179 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

Ketua Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, polis turut menahan dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun kerana memiliki ganja.

“Pemeriksaan dilakukan menemui ganja di dalam kotak rokok dibawa remaja itu. Salah seorang daripada mereka penuntut kolej swasta.

“Polis turut menemui motosikal Yamaha Nouvo ditinggalkan seorang lelaki sebaik melihat kelibat polis melakukan sekatan,” katanya.

Beliau berkata, semakan ke atas motosikal itu mendapati cukai jalannya tamat tempoh.

“Sebanyak 72 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, 38 saman nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, 33 saman cukai jalan tamat tempoh, lapan saman tiada cermin sisi dan tujuh saman tamat tempoh lesen memandu.

“Enam saman dikeluarkan kerana pemandu tidak pamer pelekat ‘P’ dan enam saman tiada nombor pendaftaran,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 7:16 AM