Oleh Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua ‘mat rempit’ mabuk bertindak agresif merempuh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hingga menyebabkan mangsa cedera terpelanting.

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, mangsa yang menyertai Ops Bersepadu Tahun Baru 2016 di Bulatan Kampung Pandan, di sini, dikejarkan ke hospital akibat cedera di muka.

Timbalan Pengarah penguat kuasa JPJ, Mohammad Kifli Mahassan berkata, penunggang motosikal berusia 19 dan 21 tahun terbabit bagaimanapun dicekup anggota JPJ sejurus kejadian.

Katanya, kejadian itu menyebabkan anggotanya berpangkat pembantu penguat kuasa JPJ cedera di muka.

“Siasatan mendapati penunggang dan pembonceng menunggang motosikal Yamaha Legenda terbabit berada di bawah pengaruh alkohol.

“Saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng terbabit. Mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut selepas melanggar anggota JPJ yang sedang bertugas,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Kifli berkata, pihaknya mengeluarkan 441 saman dan menyita 16 kenderaan menerusi operasi di dua lokasi membabitkan laluan di Bulatan Kampung Pandan ke Susur Jalan Tun Razak dan Bulatan Kampung Pandan ke Jalan Darvis.

“Operasi bersepadu ini dijalankan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain antaranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ( KPDNKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Menerusi operasi itu, 1,689 kenderaan diperiksa membabitkan kereta dan motosikal.

“Antara kesalahan paling banyak dikesan membabitkan cukai jalan tamat tempoh iaitu 264 kes. Sebanyak 35 notis arahan pemeriksaan kenderaan terhadap pemilik kenderaan turut dikeluarkan,” katanya.

Mohammad Kifli berkata, seramai 18 warga asing turut ditahan Jabatan Imigresen selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, empat lelaki turut ditahan AADK selepas gagal melepas ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah.

“Lapan pemandu teksi dikenakan tindakan saman oleh SPAD selepas didapati tiada permit dan tidak menggunakan meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 7:01 AM