SITI Khairani bersama anugerah yang diterima, semalam.
Oleh Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Mengenal pasti fungsi lebih 300 jenis batuan impak meteorit tapak arkeologi Bukit Bunuh di Lenggong, Perak, bukan satu perkara mudah, tambahan ia sudah berusia 1.83 juta tahun.

Namun, minat mendalam terhadap bidang arkeologi menyebabkan Siti Khairani Abdul Jalil, 26, semakin bersemangat bagi meneruskan kajiannya yang mengambil masa tiga tahun.

Mahasiswi dalam bidang Arkeologi dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, dia mengambil masa setahun mengumpul maklumat dan data mengenai batuan berkenaan yang sudah diekskavasi dari tapak terbabit.

“Mengenal pasti batuan itu saja sudah cukup mencabar, apatah lagi ketika hendak menentukan fungsinya. Malah, ada yang mengambil tempoh lama sebelum ditentukan jenisnya berikutan bersaiz kecil dengan berat 0.02 gram saja.

“Semua batuan itu perlu dianalisis di bawah mikroskop, tetapi penat lelah saya hilang selepas mendapat maklumat lengkap jenis setiap batuan,” katanya ketika ditemui di USM, semalam.

Usaha gigih Siti Khairani itu membuahkan kejayaan apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Penyelidikan Terbaik 2015 di Majlis Persada Kencana ‘15 dan membolehkannya membawa pulang hadiah wang RM700 serta sijil.

Siti Khairani berkata, dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dan akan memperluaskan skop penyelidikannya.

Beliau berkata, hasil penyelidikan itu diharap dapat membantu bidang analisis fungsi di negara ini terutama dari segi penambahan data dan maklumat.

“Jika berkunjung ke muzium, kebanyakan artifak yang dipamerkan hanya dilabelkan nama saja, tetapi tidak dijelaskan mengenai fungsi dan maklumat tambahan lain.

“Justeru, saya berharap impian saya ini dapat membantu menambah minat orang ramai terhadap bidang berkenaan,” kata mahasiswi yang berasal dari Jeli, Kelantan itu.

Pada majlis berkenaan, seramai 282 pelajar dalam pelbagai bidang dipilih bagi menerima lima anugerah iaitu Anugerah Berprestij Luar, Penerbitan Jurnal 2013, Paten 2013, Tesis Terbaik 2014 dan Pelajar Terbaik (Kursus & Mod Campuran) 2014.

Anugerah disampaikan Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar USM Prof Dr Adnan Hussein dan Naib Timbalan Canselor Bahagian Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa Prof Datuk Ahmad Shukri Mustapha Kamal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 9:38 AM