NIK Damia melakonkan kembali bagaimana dia terpaksa menahan kesakitan selepas kepalanya tersepit.
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: “Kami gunakan macam-macam cara untuk keluarkan kepala dia termasuk dengan kayu dan besi, tetapi tidak berjaya,” kata Sharah Afira Shamsudden, 36, ketika menceritakan semula insiden anaknya, Nik Damia Husna Nik Ahmad Nazuri, 2, tersepit kepala di celah pintu jeriji besi rumah mereka di Kampung Padang Lepar, Kadok, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 5 petang ketika kanak-kanak itu mahu menjenguk sepupu dan dua abangnya yang sedang bermain di luar rumah.

Sharah Afira berkata, dia mengunci pintu jeriji besi kerana tidak mahu anak bongsu daripada tiga beradik itu keluar rumah disebabkan kediaman mereka berhampiran jalan utama.

“Bahaya kalau dia keluar kerana rumah kami dekat jalan utama. Sebab itu pintu jeriji besi sentiasa dikunci dan saya memantau dia dari dalam rumah.

“Tetapi hari itu (kejadian), tiba-tiba sahaja dia menjerit kerana tidak boleh keluarkan kepalanya menyebabkan kami semua meluru ke arahnya.

“Sebelum itu, dia memasukkan kepala di celah jeriji pintu berkenaan kerana mahu melihat sepupu dan dua abangnya bermain di luar rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Sharah Afira berkata, dia bagaimanapun bersyukur anaknya tidak mengalami kecederaan serius dan kepala anaknya berjaya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, Nik Damia Husna kini trauma dan takut untuk menghampiri pintu terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.11 petang dan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita mengambil masa selama tujuh minit untuk mengeluarkan kepala mangsa dengan menggunakan alat ‘spreader’ untuk merenggangkan pintu jeriji besi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 9:17 AM
Skip this ad x