Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Kangar: Tindakan empat remaja lelaki membaling batu ke arah sekumpulan anggota polis yang menyamar kaki pancing mengundang padah apabila mereka diberkas di jejambat Lebuh raya Kuala Perlis-Changlun di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek berusia 15 hingga 19 tahun itu bertindak membaling batu ke arah anggota polis Cawangan Trafik Kangar yang menyamar sebagai kaki pancing selepas menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan itu.

Malah, dua remaja terbabit berusia 15 dan 17 tahun yang ditahan juga amat dikehendaki polis membabitkan kejadian pecah cermin kereta di Long Boh, Kangar dan Arau pada Jun lalu.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, pihaknya menerima enam laporan polis berhubung kejadian itu sehingga menjadi viral di media sosial menyebabkan pengguna lebuh raya bimbang dengan keselamatan diri ketika melalui kawasan terbabit.

Menurutnya, selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu, beliau mengarahkan seorang pegawai dan sembilan anggota dari Cawangan Trafik Kangar untuk membuat risikan di kawasan itu.

“Mereka menyamar sebagai pemancing ikan dan berada di sekitar jejambat di lebuh raya terbabit.

“Dalam kejadian jam 5 petang semalam (kelmarin) suspek dilihat berkeliaran sebelum cuba membaling batu ke arah kenderaan yang melalui lebuh raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka melontar batu ke arah pemancing ikan menyebabkan polis yang menyamar menahan suspek.

“Siasatan kami mendapati dua suspek terbabit enam kes pecah cermin kereta membabitkan lima kereta dan sebuah bas.

“Kereta yang terbabit dalam kejadian ini adalah tiga kereta jenis Proton iaitu Saga, Exora, Satria, sebuah Perodua Myvi dan Honda Elysion serta sebuah bas milik universiti awam di Perlis membabitkan kerugian RM15,000,” katanya.

Shafie berkata, kumpulan aktif sejak Jun lalu dan kes terbaru 1 Disember lalu membabitkan kontraktor berusia 37 tahun yang memandu kereta Honda Elysion.

“Mereka melakukannya bergilir-gilir dan dilakukan pada hari tertentu sekitar waktu petang antara jam 5 petang hingga 9 malam.

“Malah, motif suspek untuk tujuan keseronokan dan mereka menjadikan aktiviti itu seperti pertandingan bagi mengukur kemampuan balingan tepat ke arah kenderaan yang melalui lebuh raya itu,” katanya.

Katanya, dua suspek berusia 15 dan 17 tahun juga positif syabu dan semua mereka direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 kerana melakukan perbuatan khianat.

“Kami sedang memburu saki baki kumpulan itu yang disyaki terbabit dalam aktiviti berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 8:22 AM