Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sembunyi tenggiling bersama rokok keretek yang diseludup ke negara ini. Itu antara taktik penyeludupan haiwan liar dari negara jiran susulan musim sejuk yang dialami di China.

Difahamkan penggemar makanan eksotik di China percaya daging haiwan dilindungi itu bukan hanya mempunyai nilai perubatan, malah berguna untuk memanaskan badan pada musim sejuk ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abdul Kadir Abu Hashim berkata, siasatan pihaknya mendapati haiwan tenggiling kebiasaannya diseludup dari Indonesia menggunakan laluan laut.

“Bagaimanapun Malaysia hanyalah transit sementara berikutan haiwan liar itu kemudiannya akan diseludup ke Vietnam dan China yang menjadi pasaran utama.

“Pihak Perhilitan sebelum ini pernah merampas haiwan tenggiling ini yang disembunyikan di dalam kargo bersama barangan lain di pelabuhan tempatan,” katanya.

Menurutnya, harga daging tenggiling yang dijual di pasaran tempatan pada kadar RM200 hingga RM300 sekilogram boleh meningkat hampir lima kali ganda di Vietnam dan China.

“Malah jika siap dimasak, hidangan daging tenggiling boleh mencecah sehingga AS$200 (RM825) sepinggan di luar negara.

“Penyeludup dikesan gemar menyeludup kura-kura katup, selain ular tedung ke negara jiran,” katanya.

Dia berkata, usaha membanteras kegiatan penyeludupan itu mendapat bantuan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sudah beberapa kali mematahkan cubaan penyeludupan hidupan liar dari negara jiran itu.

Kebiasaannya haiwan liar yang cuba diseludup ini dihantar ke utara semenanjung Malaysia bagi memudahkannya diseludup ke Thailand dan dihantar pula ke pasaran gelap di China dan Vietnam.

Menurutnya, individu yang menyeludup dan memiliki haiwan dilindungi itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 60(1)(a) dan 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Perhilitan sebelum ini menumpaskan percubaan menyeludup spesies Tenggiling di Changlun, Kedah dan merampas 92 ekor Tenggiling yang di simpan dalam karung guni.

Sejak 2010, Jabatan Perhilitan menyelamatkan 1,666 ekor Tenggiling daripada menjadi mangsa aktiviti penyeludupan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 7:13 AM