BAHAGIAN hadapan lori yang remuk.

Petaling Jaya: Tindakan seorang lelaki berusia 35 tahun cuba menahan penjenayah yang melarikan lori milik adiknya bertukar tragedi apabila dia dirempuh suspek hingga mati.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari semalam, mangsa menunggang motosikal dilanggar suspek berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas mangsa menyedari lori model Isuzu diletakkan berhampiran kediamannya di PJS 6/3D, Kampung Lindungan di sini, dilarikan suspek.

Katanya, mangsa kemudian meminjam motosikal milik seorang peniaga di kawasan berkenaan untuk mengejar lori itu.

“Lori berkenaan kemudian dilarikan suspek menghala ke Puchong. Setibanya di sebuah stesen minyak, mangsa dipercayai dilanggar lori berkenaan.

“Mangsa cedera parah di kepala sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh anggota keluarga yang turut mengekori penjenayah. Namun mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, pencuri lori itu bagaimanapun ditangkap polis bantuan yang secara kebetulan melihat kejadian itu.

Mohd Zani memaklumkan pemeriksaan terhadap suspek berusia 28 tahun yang ditahan itu mendapati lelaki itu mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan dan pihaknya menunggu laporan bedah siasat dan keterangan daripada saksi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 7:12 AM