LEE (lima dari kiri) menunjukkan barangan pecah rumah yang dirampas.
Oleh Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Subang Jaya: Seorang wanita berusia 28 tahun yang mahir mencuri kenderaan mewah dikesan bersembunyi dan tinggal di hotel mewah sejak beberapa bulan lalu.

Suspek wanita itu bagaimanapun ditahan polis bersama empat lelaki dalam dua serbuan berasingan, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Subang Jaya Lee Swee Meng berkata, semua suspek ditahan itu disyaki menganggotai kumpulan pecah rumah dan curi kereta mewah sekitar daerah ini.

Menurutnya, suspek melakukan dua kes jenayah pada 18 dan 22 November lalu di Taman Saujana Puchong serta melarikan sebuah kereta BMW.

“Polis menangkap suspek pertama seorang lelaki berusia 30-an selepas dikesan muncul kembali di Taman Saujana Puchong untuk melakukan kegiatan pecah rumah bersama dua rakannya.

“Bagaimanapun dua suspek lagi melarikan diri. Suspek yang ditahan itu kemudian mendedahkan maklumat berhubung ahli kumpulannya,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan teman wanitanya di sebuah hotel bersama sebuah kereta BMW yang dilaporkan dicuri sebelum ini.

“Susulan itu, polis menahan pula seorang lelaki berusia 48 tahun berhampiran Bandar Puteri Puchong pada hari yang sama.

“Pemeriksaan terhadap lelaki terbabit menemui pelbagai ketulan dadah jenis syabu seberat 34 gram dan pil ektasi sebanyak 110 biji di dalam beg sandang suspek,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Swee Meng berkata, siasatan terhadap tiga suspek itu membawa penahanan perancang utama sindiket itu.

Katanya, suspek keempat berusia 40 tahun yang mendalangi kumpulan itu ditahan kelmarin di hadapan sebuah hotel, di sini.

“Pemeriksaan terhadap suspek turut menemui peralatan pecah rumah dan ketulan kristal disyaki syabu seberat dua gram bersama wang tunai pelbagai negara.

“Semua suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457/379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 9:33 AM