IDRIS menyampaikan anugerah khas kepada Dr Che Zalina Zulkifi (dua dari kanan) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah PECIPTA 2015 di KLCC, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 26 atau 5.33 peratus daripada 487 produk ciptaan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berjaya dikomersialkan dengan menjana pendapatan sebanyak RM4.8 juta setakat ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pencapaian membanggakan itu berdasarkan kejayaan IPT yang mengambil bahagian pada Persidangan Antarabangsa dan Pameran Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2013.

“Apa yang lebih menggembirakan, peratusan 5.33 peratus yang dicapai itu melepasi standard pengkomersial global yang ditetapkan iaitu pada tahap lima peratus.

“Malah idea komersialan ini iaitu perundingan, latihan dan penerbitan oleh universiti kita ini berada pada tangga nombor enam dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup (PECIPTA) 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Zakaria Kasa.

Mengulas lanjut Idris berkata, PECIPTA yang diadakan secara dwitahunan sejak 2001 itu menimbulkan minat, motivasi dan semangat terhadap penyelidik untuk memastikan rekaan mereka memberi manfaat kepada rakyat negara ini.

“Sebab itu saya melihat, tahap pengkomersialan ini mungkin boleh meningkat sehingga 5.5 atau enam peratus dan kementerian sentiasa memberi galakan termasuk mencari sumber kewangan lain untuk penyelidikan mereka,” katanya, semalam.

PECIPTA 2015 yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu menyaksikan 495 produk inovasi dipamerkan membabitkan sembilan kluster utama daripada 58 IPT awam dan swasta yang mengambil bahagian.

Acara dua tahun sekali itu dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertujuan mempamerkan hasil ciptaan dan inovasi dihasilkan universiti awam dan swasta di negara serta luar negara.

PECIPTA kali ke lapan semalam turut menyaksikan Anugerah Utama digondol Pro Madya Dr Ismail Zainol dari UPSI dengan produk manik hydroxyapatite yang hasilkan daripada sisik ikan untuk digunakan sebagai penapis dalam alat penapis air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 7:44 AM