IDRIS dan isteri Datin Seri Datuk Wira Fadilah Abdullah menyembur air kepada kanak-kanak.

Melaka: Lima kembar dan enam kanak-kanak bukan Islam antara 156 peserta yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai sempena Karnival Kesihatan di Kompleks Penjara Sungai Udang di sini, semalam.

Peserta ditemani ibu bapa serta ahli keluarga mereka teruja merasai pengalaman berkhatan sebagai tanda melangkah ke alam dewasa.

Antara kembar mengambil bahagian adalah Ahmad Fikri Haris A Rahman dan adiknya Ahmad Fikri Haziph, 9, yang ditemani bapa mereka A Rahman Bachok, 35.

Ahmad Fikri Haris berkata, dia dan adik kembarnya menyertai program selepas menerima tawaran melalui sekolah mereka.

“Kami teruja berkhatan dan langsung tidak takut kerana rakan sekolah yang menyertai program sama memberikan kata semangat.

“Selepas ini, saya dan Ahmad Fikri Haziph bercadang berjumpa abang yang kini berada di Kuala Lumpur bagi memaklumkan kepadanya kami sudah dewasa,” katanya.

A Rahman berkata, dia tidak bercadang menyertai program itu, namun bersetuju dengan permintaan anak kembarnya kerana mahu merasai pengalaman berkhatan beramai-ramai.

Bagi Gelbert Ronnie Aba, 9, berkata, peluang berkhatan beramai-ramai menghilangkan rasa gementar kerana sebelum ini dia ditakutkan dua abangnya yang sudah berkhatan.

“Sakit hanya sedikit seperti digigit semut, yang penting saya lebih berani berbanding rakan lain kerana menjadi antara peserta paling awal dikhatankan.

“Pengalaman sekali seumur hidup itu yang akan dikenang kerana dilakukan bersama rakan beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Aba Ginda, 48, berkata, berkhatan tidak asing baginya dan sudah menjadi tradisi keluarganya yang berketurunan Iban dari Sarawak.

“Amalan ini amat baik untuk menjaga kesihatan lelaki, berikutan itu saya menggalakkan semua anak berkhatan,” katanya.

Karnival anjuran Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:56 AM