Rabiatul (kiri) bersama ibu saudaranya mewakili abangnya mengambil diploma di Majlis Konvokesyen Kali ke-2 Universiti Collage Bestari di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam.

Kuala Terengganu: “Peristiwa hitam itu masih segar dalam ingatan saya, hanya Allah sahaja tahu perasaan saya ketika mengambil Diploma Kejururawatan arwah abang yang meninggal akibat kemalangan itu,” kata Rabiatul Adawiyah Ramlan, 20, dari Kampung Ladang, di sini, selepas Majlis Konvokesyen ke-2 Universiti Kolej Bestari (UCB) di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.

Rabiatul mewakili abangnya, Mohd Amirullah Ramlan, 21, yang meninggal dunia selepas terbabit di dalam kemalangan di Kampung Sungai Tong, Setiu pada hari raya Aidilfitri ketiga turut kehilangan ibunya, Nur Sabiah Jusoh, 41.

“Ketika kejadian itu, saya dan bersama empat adik berusia 10 hingga 17 tahun selamat, sementara abang dan ibu yang duduk di kiri pemandu meninggal dunia selepas kereta kami dirempuh dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan untuk beraya di Kelantan.

“Abang sepatutnya melaporkan diri sebagai jururawat peribadi kepada seseorang di bandar raya ini pada keesokan harinya dan dia memang teruja untuk mulakan kerja tetapi apakan daya hajatnya tidak tercapai,” katanya.

Menurutnya, dia berasa sebak sebaik nama abangnya diumumkan pada majlis konvokesyen itu kerana mengenangkan kesungguhan Allahyarham ketika mengikuti pengajian di UCB.

“Memang sedih apabila mengenangkan nasib arwah abang kerana tidak sempat melihat diplomanya, namun saya berasa bangga dengannya kerana dia sempat menghabiskan pengajiannya itu.

“Saya juga akan meneruskan pengajian sama dan mendaftar pada 17 Januari nanti dan berharap dapat merealisasikan cita-cita abang menjadi seorang jururawat yang tidak kesampaian,” katanya.

Menurutnya, selain merindui abangnya itu, dia juga rindukan ibunya yang turut menjadi mangsa terkorban dalam nahas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 6:34 AM