SHAFIEN (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas daripada Geng Jeeva Rimba Jaya dan Geng Ahmad pada sidang media di IPD Shah Alam.

Shah Alam: Tertidur di dalam kereta yang baru dicuri menyebabkan seorang penjenayah kes samun dan curi kenderaan berjaya ditahan polis berhampiran Jalan Nagasari di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, suspek dikatakan tertidur di dalam kereta Perodua Kancil yang menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum dikejutkan pasukan peronda polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek berusia 26 tahun itu diburu polis kerana dipercayai terbabit dalam 10 kes samun di sekitar Shah Alam.

“Kereta berkenaan dilaporkan dicuri sehari sebelum itu di Seri Muda di sini, dan mungkin suspek keletihan selepas melakukan kegiatan jenayahnya itu sehingga tertidur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, lebih 20 kes pecah rumah dan curi motosikal berjaya diselesaikan selepas dua kumpulan penjenayah ditahan dalam beberapa tangkapan berasingan sejak Selasa lalu di sekitar bandaraya ini.

Menurut Shafien, dua kumpulan yang dikenali sebagai Geng Jeeva Rimba Jaya dan Geng Ahmad itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak sebulan hingga tiga bulan lalu di sekitar daerah berkenaan.

“Polis menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 26 tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun pada Selasa lalu yang membawa kepada penemuan beberapa set komponen motosikal disembunyikan di dalam sebuah pangsapuri dekat sini.

“Kumpulan ini dikenali sebagai Geng Jeeva Rimba Jaya. Pada Jumaat lalu pula, polis turut menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 29 tahun dikenali Geng Ahmad selepas dipercayai terbabit dalam lebih 10 kes pecah rumah di sekitar Seksyen 16 dekat sini,” katanya.

Shafien berkata, nilai rampasan dianggarkan RM80,000 membabitkan puluhan motosikal, barangan elektrik, tong gas dan wang tunai.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 5:59 AM