Long terlepas hukuman gantung sampai mati selepas ditawarkan pertuduhan pindaan di Mahkmah Tinggi, Johor Bahru.

Johor Bahru: “Pihak pendakwaan mengatakan tertuduh keldai dadah dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai beg dibawanya serta diminta suaminya yang juga warga Nigeria mengambil beg ‘lap top’ (komputer riba) daripada warga asing berkulit putih di Singapura.

“Mahkamah meneliti keterangan dikemukakan pihak tertuduh bahawa pembelaan memberikan hujahan munasabah berdasarkan keterangan dan pengetahuan kandungan beg,” kata Hakim Datuk Mohd Sofian Tan Sri Abd Razak di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Mohd Sofian berkata demikian dalam keputusan di akhir kes pembelaan seorang pekerja pembersihan hotel di Singapura yang didakwa atas pertuduhan mengedar dadah methamphetamine di Terminal Bas Central, Jalan Trus di sini, jam 6.30 petang, 5 Januari 2014.

Malah tertuduh, Long Say Lien, 57, yang berdepan hukuman gantung sampai mati kerana didakwa di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ibarat mendapat nyawa kedua apabila ditawarkan pertuduhan pindaan memiliki 2,259 gram methamphetamine.

Long yang berbaju kelabu dan berseluar biru dilihat mengalirkan air mata sejurus ditawarkan pertuduhan pindaan sebelum diberikan tempoh 10 minit untuk memberikan pengakuan terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak termasuk peringanan hukuman, pihak pembelaan dan pemberatan hukuman pihak pendakwaan, Mohd Sofian dalam keputusannya menjatuhi hukuman penjara 10 tahun terhadap tertuduh.

Long sekali lagi bernasib baik berikutan tidak dikenakan hukuman sebat walaupun Seksyen 12(2) ADB 1952, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak kurang 10 kali sebatan.

Keputusan tidak mengenakan hukuman sebat terhadap Long dibuat selepas mahkamah mengambil kira hujahan peringanan hukuman dikemukakan peguam bela Norman Fernandez supaya anak guamnya tidak dikenakan hukuman itu atas faktor usia dan tertuduh juga seorang wanita.

Mohd Sofian dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati, berdasarkan keterangan dikemukakan tertuduh, Long baru selesai bertugas sebagai tukang pembersih hotel dan diminta untuk pergi ke sebuah pusat beli-belah di Singapura.

“Malah dalam hujahan pihak pendakwaan, selepas kembali ke Malaysia, tiada keterangan dikemukakan, kandungan (beg) diperiksa tertuduh, malah jahitan masih di beg berkenaan.

“Untuk memastikan jahitan itu, polis terpaksa menetasnya. Jangka masa antara jam 5.30 petang hingga sekembalinya (Long) menyeberangi Tambak Johor dan berada di tempat kejadian jam 6.30 petang, dia ada kesempatan untuk mengetahui kandungan beg dibawanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 5:56 AM
Skip this ad x