SANGKAR burung pungguk dipasang di atas pokok.
Oleh Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my

Subang Jaya : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggunakan burung pungguk atau burung hantu sebagai satu inisiatif untuk membunuh tikus dalam kawasan pentadbirannya selepas usaha menggunakan kaedah moden seperti racun atau perangkap sebelum ini agak kurang berkesan.

Inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) ini adalah yang pertama dilaksanakan di Asia.

Projek perintis itu baru-baru ini menyaksikan sepasang burung pungguk jantan dan betina berusia tujuh bulan ditempatkan di sebuah sangkar yang dibina di atas pokok di kawasan SS15 sebelum diperluaskan lagi ke seluruh kawasan Subang Jaya dan Sunway dalam tempoh enam bulan akan datang.

Yang Dipertua MPSJ Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, usaha terbabit selaras dengan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk memulakan inisiatif hijau dalam menangani isu perbandaran.

“Apabila pihak USM menghubungi kami dengan idea memperkenalkan semula burung pungguk sebagai pendekatan biologi untuk membantu MPSJ mengawal populasi tikus, pihak PBT segera bersetuju mengambilnya.

“Tambahan pula sejak beberapa tahun sebelum ini, usaha kita meletakkan racun tikus di kawasan komersial kurang berkesan apabila haiwan perosak itu juga telah membangunkan satu tahap toleransi dengan racun tikus yang digunakan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Projek Kawalan Tikus Menggunakan Burung Pungguk MPSJ 2015, di sini.

Hadir sama, pensyarah Sains Biologi USM merangkap Ketua Penyelidik Projek Burung Pungguk Bangsal Prof Dr Abu Hassan Ahmad dan Pensyarah Kanan Agronomi dan Pengurusan Haiwan Perosak Dr Hasber Salim.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, keseluruhannya sebanyak 12 pasang atau 24 ekor burung pungguk akan ditempatkan di kawasan pentadbiran MPSJ pada masa hadapan.

“Buat permulaan ini, USM mahu melihat keberkesanan pasangan pertama ini memburu setelah dilatih selama enam bulan di ladang kelapa sawit Felda Jengka 24, Pahang supaya memburu dan memakan tikus bandar berbanding tikus pertanian sebelum ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa Burung Pungguk Bangsal adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 9:51 AM