KANAK-KANAK menunggu giliran untuk menggunting rambut percuma di Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Sanglang, Arau.

Arau: Sekumpulan remaja lelaki membatalkan niat untuk memancing semata-mata tidak mahu melepaskan peluang bagi mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma menjelang pembukaan sesi persekolahan baru di negeri ini, Isnin ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Bohor Mali Muhd Ammar Khairul Anuar, 14, berkata dia mengetahui program itu melalui ibu dan rakan sejak kelmarin dan mengambil keputusan membatalkan rancangan untuk memancing walaupun sudah dirancang sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, dia memilih mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kerana boleh menjimatkan wang yang sudah diberikan bapanya untuk berbuat demikian.

“Bila-bila boleh pergi memancing ikan, tetapi gunting rambut percuma jarang dapat disertai menyebabkan kami sanggup membatalkan hasrat untuk memancing ikan dengan menunggu giliran mendapatkan perkhidmatan itu.

“Kebiasaannya, saya dan dua adik lelaki akan mengikut bapa ke kedai gunting rambut sehari, tetapi kadangkala kedai penuh dan terpaksa pergi ke sekolah tanpa sempat menggunting rambut,” katanya yang hadir bersama dua adiknya berusia lapan dan 12 tahun.

Muhd Ammar berkata demikian ketika ditemui pada program menggunting rambut secara percuma anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Simpang Sanglang, di sini, semalam.

Katanya, dia bersama dua adik lelakinya mampu menjimatkan wang sebanyak RM15 yang boleh digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan selain tidak mengganggu bapa mereka yang sibuk bekerja sebagai pemandu lori.

Pengerusi JKKK Kampung Simpang Sanglang Zairul Annuar Saad, 46, berkata, program yang menggunakan khidmat dua tukang gunting rambut diadakan sejak tiga tahun lalu berikutan mendapat sambutan menggalakkan terutama kanak-kanak.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan seramai 40 orang mendapatkan khidmat menggunting rambut dalam tempoh tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 6:41 AM