MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim meninjau operasi SAR mangsa terakhir bot karam di Sungai Rajang, Belaga.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my

Belaga : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot karam, Sumitasen Thomas, 15, di Sungai Rajang di sini, yang memasuki hari keenam semalam berdepan pelbagai kesukaran termasuk arus deras dan kewujudan banyak jeram di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, kekangan itu menyebabkan pasukan penyelamat berdepan pelbagai risiko keselamatan namun misi SAR berkenaan tetap dilaksanakan sebaik mungkin.

“Keadaan Sungai Rajang yang lebar menjadikan misi pencarian mangsa terakhir itu bertambah sukar.

“Malah, pasukan SAR tidak dapat menentukan kemungkinan lokasi mayat mangsa memandangkan ia boleh berada di mana-mana saja sepanjang di sungai ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Farhan Sufyan berkata, skop pencarian operasi SAR itu turut dikecilkan kepada 16 kilometer (km) dari lokasi kejadian ke hilir sungai berbanding 40km sebelum ini.

“Ia bagi memberi tumpuan operasi pencarian di kawasan sekitar lokasi kejadian dengan menggunakan sembilan bot selain pemantauan udara. Pada masa sama, penduduk kampung turut terbabit dalam misi ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, pihaknya belum menemui penemuan baru di lokasi pencarian,” katanya.

Menurut Farhan Sufyan, operasi SAR berkemungkinan akan ditamatkan sekiranya tiada penemuan baharu dijumpai di lokasi pencarian menjelang misi pencarian hari ketujuh

“Misi pencarian ini mungkin akan ditamatkan esok (hari ini) sekiranya masih tiada penemuan. Namun, keputusan berhubung perkara ini belum dimuktamadkan kerana kita (bomba) perlu berbincang dengan agensi penguat kuasa lain,” katanya.

Sehingga kini, pasukan penyelamat sudah menemui tiga mayat daripada empat mangsa tragedi bot panjang karam di Sungai Rajang berhampiran Rumah Panjang Long Buyun, Belaga, Selasa lalu.

Mayat pertama yang dikenal pasti sebagai Sahirza Mahir, 31, ditemui jam 10 pagi Rabu lalu, Adriana Rosnah, 12, dan Nur Amirsha, 4, masing-masing dijumpai jam 2 petang serta jam 5 petang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, bot panjang berkenaan yang membawa lapan penumpang dan seorang jurumudi terbalik sebelum karam ketika dalam perjalanan dari pekan Belaga ke Rumah Panjang Tanjung terletak di hilir sungai.

Terdahulu, penumpang bot berkenaan mendapatkan barangan keperluan untuk sambutan Krismas, selain kelengkapan persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 8:58 AM