KONTRAKTOR JPS menyusuri Sungai Klang sejauh 12.5km untuk mengutip sampah.
Oleh Suraya Roslan
Surayaroslan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sebut saja Sungai Klang, apa yang akan bermain di depan mata ialah kelikatan airnya yang kotor.

Bagaikan terbayang-bayang di ruang mata, air keruh mengalir lemah dan sampah terapung hanyut tanpa arah.

Tanyalah siapa pun mengenai Sungai Klang, jawapan yang diterima pasti sama - kotor, busuk, jijik.

Menyedari perkara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan melaksanakan kerja dan kempen pembersihan sungai sepanjang 110 kilometer yang terletak dalam sempadan Kuala Lumpur.

Salah satu inisiatif berkenaan adalah membersihkan tebing Sungai Klang dalam menangani masalah pencemaran yang dianggap antara paling kotor di Malaysia.

Salah satunya, kontraktor yang dilantik JPS berperanan mengutip sisa buangan di tebing sungai dengan berjalan kaki sejauh 12.5 kilometer setiap hari seawal jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Bermula di AU3, Keramat hingga Empangan Klang Gate setiap sampah sarap di tebing dan di dalam sungai akan dikutip bagi membolehkan aliran sungai mengalir tanpa tersekat.

Pekerja penyelenggaraan JPS Mohd Arif Jani, 44, berkata, pelbagai sampah dikutip setiap hari dan seperti biasa yang paling banyak adalah polisterin dan botol air mineral.

“Kadang-kadang kami pun turut hairan, walaupun sudah mengutip sampah setiap hari namun masih berlonggok-longgok ditinggalkan di tepi tebing.

“Bayangkan kami bertugas setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad mengutip sampah purata antara tiga tan sebulan. Jika dibiarkan, berapa banyak sampah memenuhi Sungai Klang ini,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran dilalui adalah berdepan dengan binatang berbisa ketika menyusuri tebing Sungai Klang.

“Keadaan rumput panjang menyukarkan kami melihat binatang berbisa terutama ular dan boleh menyebabkan kecederaan jika tidak berhati-hati.

“Selain itu, ketika mengutip sampah di dalam sungai, kami berkemungkinan berdepan dengan arus deras berikutan air dilepaskan dari empangan tanpa pengetahuan kami,” katanya.

Menurutnya, dia dan lapan rakan lain sentiasa berhati-hati ketika melakukan pekerjaan itu demi mencari rezeki.

“Kerja ini mungkin mengambil masa sebab sebahagian sampah dibawa dari lokasi lain sebelum hanyut ke kawasan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:09 AM