Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Jeli: Pemandu bas ekspres berusia 26 tahun yang menyebabkan empat penumpang bas maut dan 26 cedera dalam kemalangan di Kilometer 124, Batu 14, Jalan Jeli-Gerik jam 1.30 pagi tadi didapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, lelaki itu yang juga pemandu utama ditahan sejurus kemalangan dan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin ini.

"Sebaik ditahan, pemandu berkenaan menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952," katanya.

Dalam kejadian pada1.30 pagi, bas yang dipandu lelaki itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dan berlanggar dengan lori muatan papan.

Empat penumpang bas yang maut ialah Hasiah Osman, 57, dan anaknya, Mohamad Amir Abdul Rahim, 16, Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19 dan Mohd Syafiq Azrul Azmi, 25.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 9:09 PM