Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan hubungan baik PAS dengan UMNO adalah untuk kebaikan ummah dan kepentingan Islam.

Beliau sekali gus menyangkal dakwaan mengatakan keputusan menjalin hubungan ‘mesra’ dua parti itu dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang saja, tanpa merujuk pimpinan tertinggi lain.

“Perkara berkaitan hubungan baik ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat Lajnah Politik peringkat PAS Pusat lama dulu.

“Semua (pimpinan tertinggi parti) bersetuju kerana ia membabitkan kepentingan Islam dan ia bukan keputusan Presiden seorang.

“Kita dari awal lagi terbuka dalam soal ini, cuma dalam suasana hari ini timbul pula spekulasi, kata PAS mahu bersatu dengan UMNO, sedangkan ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Jalinan kerjasama PAS-UMNO hangat diperkatakan apabila Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak mengajak PAS bersama parti itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini.

Ia sekali gus mengundang reaksi pelbagai dan banyak persoalan berbangkit mengenai sejauh mana kerjasama berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Kelantan berkata, Parti Amanah Negara (PAN) perlu menjelaskan sebab utama mereka memilih untuk bertanding di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Ini kerana sebelum ini mereka ada buat kenyataan tidak akan kacau Kelantan, akan bersama PAS untuk mempertahankan Kelantan, jadi kena ingat janji itu.

“Kalau nak bertanding juga di sini, kena jelaskan kenapa dia nak bertanding kerana kita lihat jika dia bertanding, akan berlaku pecah undi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 9:28 AM