TERRENCE Yung
Oleh Ibrahim Isa dan Mohd Hanapis Haris
am@hmetro.com.my


Batu Pahat: Dakwaan kononnya pemandu bas pelancong yang terbabit kemalangan di Jalan Chiang Mai-Chiang Rai (Lebuhraya 118) di Tambon Pamieng, daerah Doi Saket, utara Bangkok, kelmarin, cuba melarikan diri adalah tidak benar.

Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd, Terrence Yung berkata, dakwaan itu tidak tepat selepas pihaknya menjalankan siasatan dan mendapatkan maklum balas daripada polis Thailand.

“Kami dapati ia tidak berasas dan difahamkan, kejadian berlaku apabila pemandu berkenaan cuba memintas kenderaan lain, malangnya hilang kawalan dan terbabas.

“Jadi ia tidak terbabit dalam mana-mana kemalangan sebelum bas itu terbabas seperti dilaporkan sebelum ini,” katanya selepas menghantar 15 waris ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di pejabatnya, di sini, semalam.

Terence berkata, waris 13 mangsa yang maut menerima pampasan insurans RM100,000 setiap seorang.

Pada masa sama, Terence berkata, pihaknya menguruskan perjalanan 15 waris membabitkan tujuh keluarga yang maut dalam kemalangan itu ke Thailand.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat pada jam 4 petang melalui wakil agensi di Thailand sebelum menubuhkan pasukan khas mengenal pasti kedudukan pelanggan serta kakitangan.

Beliau berkata, pihaknya memaklumkan kepada waris mengenai tragedi itu pada jam 5 petang.

“Kami mengambil masa lama kerana pelanggan dan kakitangan dihantar ke empat hospital berbeza iaitu Bangkok Hospital, McCormick Hospital, Doi Saket Hospital dan Suan Dok Hospital.

“Berdasarkan nama, nombor pasport dan bantuan rakan di Thailand, kami berjaya mengesan dan mengenal pasti identiti mangsa serta kedudukan mereka.

“Selepas mendapat pengesahan pihak berkuasa Thailand sebanyak tiga kali, barulah kami memaklumkan kepada waris sama ada keluarga mereka terkorban atau cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Terrence berkata, 15 waris membabitkan tujuh keluarga yang berlepas ke Bangkok pada jam 1 tengah hari semalam menaiki Thai Airways dan menaiki pesawat jam 5 petang ke Chiang Mai.

“Kami menugaskan tiga kakitangan menemani mereka, selain mengharapkan bantuan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

“Kami juga menguruskan pengeluaran sijil kematian dan laporan polis berkaitan kemalangan itu untuk proses membawa pulang mayat,” katanya.

Menurutnya, urusan membawa pulang mayat mengambil masa antara empat hingga tujuh hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 8:53 AM