Makhtar menyampaikan anugerah kepada Siti Zubaidah.

Kota Bharu: Berpegang pada prinsip belajar secara tekun dan bijak membolehkan Siti Zubaidah Abidin, 22, memperoleh kejayaan hingga dinobatkan Penuntut Terbaik Keseluruhan Sarjana Muda, Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Bharu.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kewangan itu menerima anugerah tertinggi itu dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Pra Graduan, UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurutnya, dia sentiasa memastikan jadual belajarnya teratur walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti kampus termasuk menjadi anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Bagi saya, prinsip belajar secara tekun dan bijak merujuk pada tumpuan yang tidak berbelah bahagi ketika dalam kuliah serta bijak membahagikan masa untuk aktiviti luar kuliah.

“Saya sentiasa pastikan jadual belajar saya teratur dan berdisiplin dalam melakukan aktiviti pembelajaran serta kokurikulum.

“Dalam kuliah pula, saya memberi tumpuan yang penuh dan bertanya soalan sekiranya tidak memahami apa yang disampaikan pensyarah,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Anugerah disampaikan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Siti Zubaidah menerima hadiah berupa sebuah trofi, sijil kecemerlangan akademik dan wang tunai bernilai RM500.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, dia juga mahu menjadikan kejayaannya sebagai dorongan buat adiknya belajar sehingga menjejakkan kaki ke menara gading.

“Dalam keluarga, saya seorang sahaja yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) jadi saya mahu menjadi contoh buat adik dan kejayaan ini juga didorong oleh ibu bapa saya yang sentiasa menyokong apa yang saya lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 6:53 AM