RUANG beli-belah Mahkota Parade yang terletak di lokasi strategik.
Oleh Zairee Mohd Yasak
am@metro.com.my


Melaka: Sebagai pusat beli-belah terulung di negeri ini sejak 1993, Mahkota Parade menjanjikan pengalaman beli-belah serba lengkap dengan pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Dengan keluasan lebih 4.92 hektar, pusat beli-belah itu mempunyai lebih 190 premis perniagaan, malah menyediakan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Pengurus pemasaran Hektar Property Services Sdn Bhd, Mohd Zahiruddin Datuk Ahmad berkata, enam aktiviti besar dan lebih 20 aktiviti sampingan bakal dianjurkan tahun depan.

“Selain aktiviti perayaan dan aktiviti sukan, aktiviti hiburan keluarga akan ditingkatkan bagi menarik pengunjung yang hampir mencecah sejuta orang.

“Beberapa jenama restoran terkemuka dan antarabangsa dibawa masuk ke pusat beli-belah itu bagi memberikan lebih banyak pilihan buat pengunjung,” katanya.

Dengan memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara, Mahkota Parade sentiasa menjadi tarikan pengunjung serta pelancong dengan keunikan suasana membeli-belah yang ditawarkan.

Lokasinya yang strategik selain hampir dengan lokasi bersejarah terkenal, Mahkota Parade menarik pelancong asing terutama dari Indonesia dan Singapura.

Katanya, pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa mampu milik yang ditawarkan kepada pengunjung menjadi faktor pertambahan pengunjung setiap tahun di Mahkota Parade.

“Dari penyewa utama kami, Parkson Grand hingga pelbagai rangkaian makanan segera, pelbagai jenis perkhidmatan yang kami sediakan menarik pengunjung membeli-belah di sini.

“Kemudahan asas untuk semua golongan pengunjung turut dinaik taraf bagi memberi keselesaan pengunjung membeli-belah atau bersiar-siar,” katanya.

Mengenai pelancaran tayangan perdana Ip Man 3 di pawagam Lotus Five Star pada 19 Disember ini, Mohd Zahiruddin berkata, persiapan sudah diatur untuk menyambut lebih 20,000 pengunjung di ruang legar pusat beli-belah itu.

“Dengan kehadiran bintang besar seperti Raymond Wong, Donnie Yen dan Lin Xiong, kami bersiap sepenuhnya supaya acara yang bermula pada jam 11 pagi itu berjalan lancar.

“Kami turut mengadakan pertandingan bagi menarik lebih ramai pengunjung pada hari itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 8:31 AM