Hishammuddin bersama pemenang Anugerah Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2015 di Auditorium Wisma Pertahanan, semalam.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Jika perlu wujud mahkamah khas dan perlu dibicara serta diadakan pada waktu malam, saya sangat setuju kerana ancaman IS ini berlaku dan semakin menular di seluruh dunia,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, sebarang pendekatan bagi memantau dan menangani aktiviti pengganas perlu dibuat segera kerana ia menimbulkan ancaman keselamatan rakyat dan negara.

“Jika kita tidak ambil pendekatan proaktif, mereka (pengganas) terlepas daripada pemantauan dan lebih berat lagi kalau mereka terlepas di khalayak ramai dan mengancam keselamatan rakyat tidak berdosa,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2015 di Wisma Pertahanan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zain.

Hishammuddin berkata, cadangan penubuhan mahkamah khas itu dibincangkan secara prinsip di peringkat Majlis Keselamatan Negara dan terserah kepada badan kehakiman untuk memikirkan kaedah terbaik pelaksanaannya.

“Perkara ini dibincang di peringkat MKN (Majlis Keselamatan Negara) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan saya seorang daripada anggotanya.

“Perkara yang boleh membantu kita memerangi IS termasuk proses penghakiman lebih telus dan dapat diselesaikan dengan cepat supaya tidak ada mana-mana pihak terlepas daripada genggaman kita melalui undang-undang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, katanya, Malaysia juga menyambut baik pembentukan pakatan tentera Islam dianggotai 34 negara bagi memerangi pengganas seperti diumumkan Arab Saudi, namun ia bukan komitmen ketenteraan.

Difahamkan, negara yang disebut dalam kenyataan itu termasuk Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Turki selain negara ini, Pakistan serta negara Afrika.

“Persefahaman kita bersama memerangi keganasan militan, ia pendirian tepat. Malah, ia juga pendiran 10 negara ASEAN ketika kita menjadi Pengerusi ASEAN.

“Jadi bukan satu perkara pelik kita bersama-sama dengan inisiatif di bawah Arab Saudi ini,” katanya yang memaklumkan dihubungi rakan sejawatnya dari Arab Saudi berhubung perkara itu, Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin mengesahkan tiada pencerobohan kapal tentera pengawal pantai China di perairan Bintulu, Sarawak seperti didakwa dan memberi jaminan bertindak jika berlaku.

“Dalam konteks memantau di luar sempadan perairan negara, pihak Kementerian Luar, Wisma Putra dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bekerjasama rapat dengan kita memastikan segala kebimbangan yang saya maklumkan ketika Sidang Kemuncak ASEAN dulu (insiden pencerobohan atau pertembungan) yang tidak disengajakan atau di luar kawalan tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara serantau selain dua kuasa besar, China dan Amerika Syarikat sekali gus membolehkan sebarang pertikaian diselesaikan melalui rundingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 8:27 AM