ABDUL Fattah (tujuh dari kiri) bergambar bersama peserta ketika majlis pelancaran dan pelepasan jemaah umrah KOOP bersama Kopetro Travel di KLIA.

Sepang: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) memperkenalkan pakej umrah ‘kasih sayang’ tahun depan bagi memberi peluang kepada ahli koperasi membiayai ibu dan bapa masing-masing untuk menunaikan umrah di Tanah Suci menerusi skim potongan gaji.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan koperasi yang berminat bagi menyelaras dan menganjurkan pakej umrah berkenaan menerusi Program Umrah Koop yang diperkenalkan Angkasa pada September lalu.

Beliau berkata, buat masa ini, sebanyak 600 koperasi di seluruh negara menawarkan skim kredit kepada ahlinya selain 40 koperasi yang menjalankan aktiviti pelancongan dan umrah sebagai teras perniagaan masing-masing.

“Pakej umrah berkenaan diperkenalkan bagi menghargai jasa ibu bapa selain memperluaskan konsep kenang budi dalam kalangan anak-anak,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran dan pelepasan jemaah umrah koop anjuran anak syarikat Angkasa, MyAngkasa Services Sdn Bhd dengan Kopetro Travel & Tours Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Beliau percaya pakej umrah itu dapat ditawarkan memandangkan koperasi-koperasi di negara ini mempunyai dana yang mencukupi.

Abdul Fattah berkata, buat masa ini, dua koperasi, masing-masing Kopetro Travel & Tours dan Rakyat Travel sudah menyertai Program Umrah Koop, malah pihaknya juga yakin lebih banyak koperasi akan menyertai program kerjasama itu pada masa depan.

Menurutnya, pengenalan program itu bertujuan memberi keselesaan dan kemudahan kepada ahli koperasi selain mengelak kes jemaah umrah tertipu oleh skim dan syarikat pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya juga berharap 40 koperasi itu dapat bekerjasama bagi menganjurkan pakej umrah berkenaan sekali gus membolehkan jadual penerbangan dan pakej umrah dapat diselaraskan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 8:10 AM