PASUKAN bomba menyembur air ke arah kilang terbabit bagi mengurangkan gas ammonia.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Selayang: Pasukan bomba berjaya mengeluarkan 54 pekerja warga asing di sebuah asrama dalam keadaan selamat selepas kilang ais yang berada di tingkat bawah premis itu mengalami kebocoran gas ammonia, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam di Kampung Selayang Indah, di sini, bomba mendapati kebocoran berlaku pada bahagian penyejuk yang terdapat dalam kilang berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.10 malam.

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dengan kekuatan lima anggota dan seorang pegawai bergegas ke lokasi sebelum tiba 20 minit kemudian.

“Tindakan bomba selepas itu adalah mengosongkan beberapa kilang di sekitar lokasi kejadian bagi mengelakkan orang ramai terhidu gas terbabit selain melakukan semburan air bagi mengelakkan bahan kimia berkenaan merebak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pasukan bomba dari BBP Selayang tiba sejurus kemudian manakala Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) tiba pada jam 11.15 malam dan memasuki kawasan kilang untuk menyiasat kejadian sebelum mendapati ia berpunca daripada kebocoran penyejuk.

“Pasukan HAZMAT kemudian menutup lima injap yang menyalurkan gas berkenaan pada jam 12.36 tengah malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 7:25 AM