ANTARA kubur lama yang dikesan menjadi tempat aktiviti pemujaan di Kampung Tampoi.

Melaka: Penduduk di Kampung Tampoi, di sini, melakukan rondaan bergilir-gilir bagi memastikan dua kubur lama dikenali Datuk Kelat dan Datuk Kijang berusia 100 tahun daripada dijadikan tempat pemujaan sekumpulan individu bagi mendapatkan nombor ramalan empat angka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan, Ali Mohamed, 52, berkata, mereka mengesan aktiviti pemujaan di kubur berkenaan aktif kembali sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, sejak rondaan dilakukan sebulan lalu, ia mengekang aktiviti pemujaan di tanah perkuburan Islam.

“Rondaan dilakukan pada jam 8 malam, namun jika kami mendapat laporan ada individu atau kenderaan mencurigakan di kawasan itu, penduduk bergegas ke sana untuk melakukan pemeriksaan.

“Tanah perkuburan di hujung kampung itu sunyi dan tempat pilihan individu melakukan upacara pemujaan meminta nombor ramalan,” katanya.

Menurutnya, aktiviti pemujaan di tanah perkuburan itu lama berlarutan dan sebelum ini mereka pernah menemui kelengkapan seperti kemenyan.

Walaupun pihaknya melakukan rondaan, kawasan tanah perkuburan itu masih diceroboh untuk aktiviti sama malah mereka turut menemui kain kuning diikat pada batu nesan.

“Masyarakat membabitkan jawatankuasa penduduk, pengerusi tanah perkuburan, bilal masjid dan pemuda bergotong-royong membersihkan kawasan kubur itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:52 AM