KEDAI vape aktif beroperasi di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Johor Bahru: Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung larangan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri ini bermula 1 Januari depan menerima pelbagai reaksi daripada peniaga dan orang awam.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata penduduk terkejut dengan titah pengharaman vape oleh Sultan Johor seperti disiarkan akhbar berbahasa Inggeris dan tersebar meluas di Internet semalam.

Pembantu jualan kedai vape yang hanya mahu dikenali Fadhil, 28, berkata, dia mengetahui larangan berkenaan selepas membaca laporan yang disiarkan di laman sosial.

“Saya bekerja sepenuh masa di kedai ini sejak dua tahun lalu dan selesa dengan pekerjaan sekarang.

“Namun, saya mungkin mencari pekerjaan lain jika pengharaman itu dikuatkuasakan.

“Bagi saya, pengharaman itu mungkin disebabkan kesan negatifnya, namun tanpa disedari, ramai pelanggan termasuk diri saya berhenti menghisap rokok disebabkan vape dan diharap keputusan itu dipertimbangkan semula,” katanya.

Bekas penghisap vape, Asmuni Musiran, 26, berkata, pengharaman vape mungkin baik untuk kesihatan serta keselamatan penggunanya.

Bagaimanapun katanya, peniaga hilang punca pendapatan jika larangan itu dikuatkuasakan.

Menurutnya, dia berharap keputusan yang dibuat mengambil kira setiap aspek.

“Saya pernah menjadi pengguna vape, namun berhenti kerana tidak sesuai selepas mengalami batuk dan kembali menghisap rokok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:11 AM