Gelagat peserta dimandikan menggunakan air dari pili bomba sebelum dikhatankan pada Program Sunathon oleh PERDIM Selangor 2015.

Shah Alam: Kesedaran penganut agama lain berhubung kepentingan berkhatan semakin meningkat saban tahun.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Selangor Dr Norzaidi Zakaria berikutan kebanyakan penganut bukan Islam berkhatan boleh mengatasi masalah kencing kotor selain kebersihan berkaitan alat sulit.

“Jika individu (bukan beragama Islam) itu berkhatan, dia turut membawa ahli keluarga lain seperti adik beradik atau anak lelaki untuk turut sama berkhatan.

“Kini berkhatan turut dilakukan orang bukan Islam sebagai alternatif menjaga kesihatan tubuh,” katanya ketika ditemui dalam Program Sunathon Selangor di sini, semalam.

Program anjuran PERDIM itu dirasmikan Timbalan PERDIM Malaysia Dr Zety Rozila Zainuddin.

Dr Norzaidi berkata, seramai 10 ahli PERDIM diberikan kursus khas berhubung prosedur berkhatan.

Katanya, semua doktor terbabit didedahkan dengan konsep berkhatan yang tidak menimbulkan komplikasi pada kursus dianjurkannya sebelum ini.

“Sasaran kita, seramai 400 kanak-kanak dikhatankan tahun ini. Dan hari ini (semalam) 150 kanak-kanak berkhatan dan bakinya akan dikhatankan minggu depan di Bandar Baru Ampang.

“Dalam program ini juga, PERDIM turut menaja 200 kanak-kanak dari golongan keluarga fakir dan asnaf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:48 AM