MAT Razi (kanan) meninjau tapak rumah Eh Dam (dua dari kanan).

Tumpat: Tiga beranak berketurunan Siam menjadikan bangsal lembu tidak digunakan di Kampung Kubang Bemban, di sini, sebagai tempat berteduh sejak 20 tahun lalu kerana kesempitan hidup.

Eh Dam Eh Lui, 55, berkata, bangsal lembu itu dianggap sebagai ‘istana’ baginya bersama isteri, Sempon Keawkam, 45, anak, Sarosa, 11, kerana tidak mampu mempunyai tempat tinggal sendiri.

“Pada asalnya saya tinggal bersama ibu di Kampung Simpangan, di sini, bersama adik-beradik lain.

“Bagaimanapun selepas berkahwin, saya cuba berdikari dan mengambil keputusan tinggal berasingan sebelum ibu mencadangkan saya menetap di bangsal lembu miliknya di sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Bemban, di sini, selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail, semalam.

Eh Dam berkata, pada mulanya dia mahu tinggal di situ sementara waktu, namun dengan pendapatan sebagai petani yang tidak menentu, dia tiada pilihan lain.

Bagaimanapun, keperitan hidup Eh Dam sekeluarga mendapat perhatian apabila permohonannya mendapatkan rumah di bawah Projek Bantuan Rumah (PBR) diluluskan.

Sementara itu, Mat Razi berkata, rumah PBR yang menelan kos RM40,000 itu termasuk 35 permohonan lain di DUN itu yang diluluskan tahun ini.

“Sepatutnya rumah milik Eh Dam dibina lebih awal, namun terdapat kesukaran membawa masuk bahan binaan memandangkan laluan sangat sempit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:03 AM