RAJINIKANTH
ABDUL Azeez (kanan).

Kuala Lumpur: Demam legenda hero filem Tamil Rajinikanth yang melanda negara baru-baru ini turut merebak ke Sidang Dewan Rakyat semalam.

Keghairahan, keterujaan dan kekaguman rakyat negara ini bertemu pelakon bertaraf ‘superstar’ rupa-rupanya ‘menjangkiti’ Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).

Kebolehan dan kepetahannya bertutur dalam bahasa Tamil membolehkan wakil rakyat itu melakonkan semula watak yang dilakonkan Rajinikanth dalam filem Baasha yang terkenal pada 1995.

“Saya ‘Baasha Malaysia’. (Ahli Parlimen) Kapar tahu itu,” kata Abdul Azeez yang menggamatkan Sidang Dewan Rakyat di sini semalam.

Bukan sekadar itu, malah beliau mengangkat Rajinikanth sebagai ikon pelancongan semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Beliau kemudian menceritakan plot filem berkenaan sambil memetik beberapa bahagian skrip watak lakonan Rajinikanth dalam bahasa Tamil.

“Watak hero dari India itu ialah sama seperti watak Robin Hood yang merompak penyeludup kemudian membantu orang miskin, malah ketua polis pun membantu dia,” katanya.

Ahli Parlimen lain amat berminat dengan gaya penceritaannya sehingga Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mencelah meminta Abdul Azeez melakonkan semula gaya Rajinikanth dalam filem berkenaan.

“Saya faham kalau Kapar atau Ipoh Barat yang minta, tapi kenapa Pokok Sena yang tanya,” katanya.

Untuk tidak mengecewakan Mahfuz, setelah dibenarkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, beliau meniru watak dan dialog hero filem itu dengan gaya unik setiap kali muncul dalam plot filem berkenaan menjadikan dewan itu gamat dengan gelak ketawa wakil rakyat yang hadir.

Abdul Azeez berkata, banyak pengajaran yang dapat diperoleh dari filem Tamil.

Beliau turut memuji tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz yang menjemput pelbagai pelakon terkenal dunia ke negara ini yang boleh melonjakkan sektor pelancongan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 9:55 AM