ESAH (tengah) dilantik Ketua Kampung Balun.
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my

Ipoh: Kerajaan negeri terus mengiktiraf peranan kaum wanita apabila buat julung kalinya melantik golongan itu memegang jawatan ketua kampung yang sebelum ini hanya dimonopoli kaum lelaki.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya melantik Esah Ahmad, 55, sebagai Ketua Kampung Balun dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang bagi sesi 2016/2017 selepas diputuskan pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Menurutnya, pelantikan itu menyaksikan Esah antara 829 ketua kampung yang dilantik di negeri berkenaan.

“Pelantikan itu adalah sejarah buat negeri ini. Setahu saya, belum ada mana-mana wanita sedang memegang jawatan ketua kampung di negara ini pada ketika ini.

“Ini adalah satu pendekatan kerajaan negeri dalam pengupayaan kaum wanita sebagai pembuat dasar di peringkat akar umbi dan perlantikan ketua kampung wanita ini sudah sampai ke matlamatnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco berkenaan.

Zambry berkata, pelantikan Esah dibuat berdasarkan peranan aktifnya dalam aktiviti kemasyarakatan dan penerimaan penduduk di kawasan kampung itu.

Kerajaan Perak turut mencipta sejarah pentadbiran negeri itu apabila melantik Latipah Sehibi sebagai Pegawai Daerah wanita pertama di Perak bagi Daerah Kampar dan kemudian mengumumkan pula Nurdiana Puaadi sebagai wanita pertama memegang jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah iaitu bagi Majlis Daerah Batu Gajah.

Sementara itu, Esah yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Balun berkata, dia terkejut menerima berita itu ketika dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, pada jam 3.30 petang.

“Saya berjanji akan menggunakan pengalaman dalam menjalankan kerja kemasyarakatan untuk mentadbir serta mengurus kampung sebaik mungkin.

“Saya juga mahu membuktikan wanita juga boleh menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan ini demi kemajuan dan kebaikan penduduk kampung dan berharap langkah kerajaan negeri dijadikan contoh kepada negeri lain,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan semalam.

Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, sejak pengumuman itu tersebar di media sosial, beliau menerima banyak ucapan tahniah daripada rakan dan penduduk termasuk ada berjanji akan membantunya menjalankan tugas sebagai ketua kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 9:47 AM